BERITA TERKINI   Liga Super: JDT 7-0 PDRM FC | 

Bursa Malaysia Ditutup Tinggi Seiring Peningkatan Serantau

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini, seiring prestasi positif pasaran serantau serta disokong oleh penyenaraian kukuh Sunway Healthcare Bhd.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 18.82 mata atau 1.10 peratus kepada 1,729.81 berbanding paras 1,710.99 ketika ditutup semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka 2.98 mata lebih tinggi pada 1,713.97 dan bergerak antara 1,713.42 hingga 1,730.72 sepanjang dagangan hari ini.

Sentimen pasaran kekal positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 657 berbanding 480. Sebanyak 528 kaunter tidak berubah, 1,069 tidak diniagakan dan 11 digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.33 bilion unit bernilai RM4.27 bilion berbanding 2.82 bilion unit bernilai RM2.76 bilion semalam.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pasaran serantau ditutup lebih tinggi susulan petunjuk positif daripada Wall Street semalaman.

“Peningkatan ini didorong terutamanya oleh kekuatan saham teknologi dan semikonduktor, susulan unjuran permintaan kecerdasan buatan (AI) yang optimistik oleh Nvidia dan SK Hynix, sekali gus mengimbangi kebimbangan terhadap kos tenaga yang tinggi.

“Meskipun sentimen pasaran positif, ketidaktentuan dijangka berterusan dalam jangka terdekat apabila pelabur menantikan keputusan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat malam ini,” katanya kepada Bernama.

Di peringkat domestik, beliau berkata indeks penanda aras kekal dalam aliran menaik yang konstruktif, dengan minat belian tertumpu kepada sektor penjagaan kesihatan, minyak dan gas serta perbankan.

“Pasaran dijangka terus sensitif terhadap perkembangan global, dengan FBM KLCI dijangka bergerak dalam julat 1,710 hingga 1,735 menjelang hujung minggu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata FBM KLCI meneruskan pemulihan untuk sesi kedua berturut-turut, disokong sentimen yang bertambah baik serta persekitaran pelaburan yang lebih cenderung mengambil risiko.

“Dalam kalangan komponen indeks, saham penjagaan kesihatan mendahului kenaikan, dengan beberapa kaunter meningkat lebih lima peratus, didorong limpahan minat pelabur susulan penyenaraian saham penjagaan kesihatan baharu yang mengangkat sentimen sektor berkenaan,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik 14 sen kepada RM11.74, Public Bank Bhd meningkat tujuh sen kepada RM4.93, CIMB Group Holdings Bhd menokok sembilan sen kepada RM7.95, Tenaga Nasional Bhd naik empat sen kepada RM14.24, manakala IHH Healthcare Bhd melonjak 46 sen kepada RM9.39.

Bagi kaunter paling aktif, Sunway Healthcare melonjak 40 sen kepada RM1.85, Zetrix AI Bhd naik setengah sen kepada 79 sen, Tanco Holdings Bhd meningkat empat sen kepada RM1.40, AirAsia X Bhd naik 10 sen kepada RM1.30, manakala Malaysian Resources Corporation Bhd susut setengah sen kepada 28.5 sen.

Kaunter untung utama termasuk Malaysian Pacific Industries Bhd yang meningkat 48 sen kepada RM30.20, Fraser & Neave Holdings Bhd naik 38 sen kepada RM31.80, Hong Leong Bank Bhd menambah 40 sen kepada RM23.20, Petronas Gas Bhd meningkat 32 sen kepada RM17.92, serta Sunway Bhd yang naik 25 sen kepada RM5.48.

Bagi kaunter rugi utama, PPB Group Bhd susut 36 sen kepada RM11.04, Allianz Malaysia Bhd turun 34 sen kepada RM21.22, Apollo Food Holdings Bhd merosot 23 sen kepada RM5.49, FCW Holdings Bhd jatuh 19 sen kepada RM1.61, dan Petron Malaysia Refining & Marketing Bhd turun 17 sen kepada RM4.63.

Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 meningkat 133.0 mata kepada 12,462.18, Indeks FBM Emas naik 128.81 mata kepada 12,614.77, Indeks FBM 70 melonjak 172.76 mata kepada 17,280.37, Indeks FBM Emas Shariah bertambah 101.02 mata kepada 12,287.01, manakala Indeks FBM ACE meningkat 35.86 mata kepada 4,449.78.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 255.48 mata kepada 20,893.02, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 2.16 mata kepada 180.61, Indeks Tenaga susut 6.22 mata kepada 783.75, manakala Indeks Perladangan naik 30.03 mata kepada 8,598.51.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 2.21 bilion unit bernilai RM4.05 bilion berbanding 1.70 bilion unit bernilai RM2.56 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran turut meningkat kepada 807.81 juta unit bernilai RM98.88 juta daripada 775.62 juta unit bernilai RM97.58 juta semalam.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE menurun kepada 304.66 juta unit bernilai RM124.84 juta berbanding 343.14 juta unit bernilai RM110.37 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna mencatatkan 278.40 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (344.65 juta), pembinaan (158.22 juta), teknologi (145.48 juta), perkhidmatan kewangan (85.16 juta), hartanah (168.16 juta), perladangan (29.71 juta), amanah pelaburan hartanah (21.59 juta), dana tertutup (119,200), tenaga (155.93 juta), penjagaan kesihatan (709.13 juta), telekomunikasi dan media (39.67 juta), pengangkutan dan logistik (36.40 juta), utiliti (38.94 juta) serta amanah perniagaan (595,300).

-- BERNAMA