BERITA TERKINI   Untung bersih Yinson Holdings Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Jan 2026 susut kepada RM683 juta daripada RM1.24 bilion pada tahun kewangan 2025 | Dua maut, empat cedera dalam kemalangan babit dua kenderaan di simpang Felda Sungai Ara dekat Kota Tinggi - bomba | Inflasi Malaysia berada pada 1.4 peratus pada Februari 2026, mata indeks naik kepada 136.0 daripada 134.1 pada bulan sama tahun sebelumnya - Jabatan Perangkaan | Perdagangan Malaysia meningkat 9.5 peratus kepada RM245.2 bilion pada Februari 2026, disokong oleh pengembangan berterusan dalam eksport dan import - Jabatan Perangkaan | Sabotaj Negara: PDRM akan rakam keterangan 14 lagi individu bagi lengkapkan kertas siasatan - KPN | 

Ringgit Terus Kukuh Berbanding Dolar AS Susulan Harga Minyak Mentah Rendah

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) -- Ringgit meneruskan kenaikan hari ini apabila ditutup tinggi berbanding dolar AS berikutan harga minyak mentah yang rendah selepas langkah pelepasan Rizab Petroleum Strategik (SPR).

Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 3.9145/9205 berbanding dolar AS daripada 3.9155/9200 ketika ditutup pada Selasa.

Rakan pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata aliran bekalan minyak berkaitan SPR membantu menstabilkan jangkaan harga minyak mentah dan mengurangkan ketidaktentuan harga tenaga.

“Pada masa sama, sentimen risiko global yang semakin baik menarik kembali pelaburan dalam mata wang berisiko tinggi, dengan ringgit bergerak selari dengan mata wang lain seperti dolar Australia apabila pelabur mengurangkan pegangan defensif terhadap dolar AS.

“Oleh itu, gandingan antara harga minyak rendah dan sentimen risiko yang baik telah mendorong ringgit mengukuh, dan selagi keadaan itu berterusan, ringgit dijangka tetap kukuh dalam masa terdekat,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata mata wang tempatan terus menerima sokongan yang baik dalam keadaan ketidaktentuan yang berlaku akibat perang di Asia Barat.

Beliau berkata pelabur secara umumnya mengambil pendirian berhati-hati menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat (AS) malam ini.

“Tumpuan kini adalah bagaimana ahli FOMC akan menggambarkan situasi semasa (perang di Iran) dan kesannya terhadap kenaikan harga petrol dan diesel dalam ekonomi AS,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata pasaran tenaga kerja AS yang perlahan menjadikan pelonggaran monetari sebagai tindak balas polisi yang wajar.

Menurut beliau, data pekerjaan bukan ladang terkini menunjukkan majikan AS mengurangkan sebanyak 92,000 pekerjaan pada Februari 2026 manakala Kadar Penyertaan Tenaga Buruh susut tiga bulan berturut-turut kepada 62.0 peratus pada Februari.

Ringgit rendah berbanding sekumpulan mata wang utama lain.

Mata wang tempatan susut berbanding yen Jepun kepada 2.4627/4668 daripada 2.4603/4632 semasa ditutup pada Selasa, menyusut berbanding pound Britain kepada 5.2290/2370 daripada 5.2205/2265 semalam dan berkurangan berbanding euro kepada 4.5166/5235 daripada 4.5063/5115.

Mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang ASEAN.

Ringgit meningkat berbanding baht Thai kepada 12.0878/1130 daripada 12.0957/1167 semasa ditutup pada Selasa.

Bagaimanapun, ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0668/0718 daripada 3.0635/0673 semalam, susut berbanding rupiah Indonesia kepada 231.0/231.6 daripada 230.3/230.7 semasa ditutup sebelumnya, dan rendah berbanding peso Filipina kepada 6.57/6.59 daripada 6.54/6.56.

-- BERNAMA