BERITA TERKINI   Komuniti MADANI perlu berada di hadapan untuk benar-benar memahami keresahan rakyat dan melakukan intervensi - Fahmi | Krisis Bekalan Global: Sebarang dasar dilaksana secara berhati-hati, bersasar dan bersifat sementara - Akmal Nasrullah | Ketua Menteri Tamil Nadu, Vijay, melahirkan komitmen untuk memupuk kerjasama yang lebih erat, memperkukuh ikatan persahabatan dengan Malaysia | Orang ramai digalakkan muat turun aplikasi RTM Klik untuk menonton Piala Dunia FIFA 2026 secara percuma - Fahmi | Papan Pemuka Pemantauan Krisis Bekalan Global dijangka boleh diakses orang awam bermula 15 Mei ini - Akmal Nasrullah | 

GLC Sabah Meterai Perjanjian Dengan SBH Kibing Bina Kilang Kaca Solar Bernilai RM7.2 Bilion

KOTA KINABALU, 13 Nov (Bernama) -- Dua syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) Sabah memeterai perjanjian dengan SBH Kibing Solar New Energy (M) Sdn Bhd untuk membangunkan kilang pembuatan kaca solar bernilai RM7.2 bilion di Kimanis.

Pertukaran yang disaksikan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor hari ini menandakan peristiwa penting dalam memperkukuh infrastruktur tenaga boleh baharu (TBB) dan pertumbuhan ekonomi negeri.

Hajiji dalam satu kenyataan berkata pelaburan baharu ini juga penting dalam menjana peluang pekerjaan bagi masyarakat setempat.

Pertukaran dokumen pertama melibatkan perjanjian sewaan semula antara SBH Kibing dan Fokasrama Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Sawit Kinabalu Group.

"Perjanjian itu akan membuka ruang bagi pembangunan kilang pembuatan kaca solar dan ia dijangka menjadi antara kemudahan terbesar seumpamanya di rantau ini," kata kenyataan itu.

Pembangunan berkenaan adalah sebahagian daripada rancangan SBH Kibing untuk mengembangkan infrastruktur tenaga boleh baharu Sabah, meningkatkan kedudukan pasaran tenaga solar globalnya dan melengkapi kilang sedia ada syarikat itu di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP).

“Kemudahan kaca solar baharu itu turut menyerlahkan komitmen SBH Kibing terhadap pertumbuhan tenaga boleh baharu dan mewujudkan tapak pembuatan utama di Sabah,” katanya.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Sawit Kinabalu Group Datuk Victor Ationg mewakili Fokasrama pada majlis pertukaran perjanjian itu manakala SBH Kibing diwakili Pengerusi William Chen.

Pertukaran perjanjian kedua melibatkan SBH Kibing dan Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC), bagi membekal 45 juta kaki padu standard gas asli sehari bagi menyokong operasi di kilang baharu itu.

“Sebagai pembekal gas asli utama Sabah, SEC terus memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi serantau melalui penyelesaian tenaga yang boleh dipercayai dan lebih bersih,” kata kenyataan itu.

Mewakili SEC bagi pertukaran itu ialah Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Adzmir Abd Rahman dan SBH Kibing diwakili oleh Timbalan Pengarah Urusan Celine Li.

-- BERNAMA