Bursa Malaysia Ditutup Tinggi, Dipacu Pembelian Saham Mewah Semasa Harga Murah
Oleh Siti Noor Afera Abu
KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia meningkat semula untuk ditutup tinggi pada Selasa, dipacu pembelian saham mewah terpilih ketika harga murah selepas dua sesi dagangan terakhir sebelum ini ditutup rendah, kata penganalisis.
Pada 5 petang, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 5.25 mata atau 0.30 peratus kepada 1,750.56 daripada 1,745.31 semalam.
Indeks penanda aras itu dibuka 3.14 mata lebih kukuh kepada 1,748.45 sebelum bergerak antara 1,748.45 hingga 1,755.54 sepanjang sesi dagangan hari ini.
Lingkungan pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 590 berbanding 583 manakala 595 kaunter tidak berubah, 897 kaunter tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 4.92 bilion unit bernilai RM3.59 bilion daripada 4.20 bilion unit bernilai RM3.17 bilion pada Isnin.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata pasaran masih waspada berikutan harga minyak mentah yang tinggi ketika ini, yang boleh terus menjejaskan sentimen pelabur secara keseluruhan serta menimbulkan kebimbangan mengenai tekanan inflasi.
Beliau berkata walaupun sokongan belian terpilih masih berlaku dalam kaunter yang bersifat defensif dan berkaitan indeks, namun penyertaan pasaran secara menyeluruh masih agak hambar memandangkan pelabur mengambil pendekatan tunggu dan lihat ekoran ketidaktentuan geopolitik yang berterusan.
“Bagaimanapun, keupayaan FBM KLCI untuk meningkat semula selepas penurunan baru-baru ini menunjukkan sokongan asas masih kukuh, didorong pembelian semasa harga murah dan mudah tunai domestik yang stabil.
“Bagi tempoh akan datang ini, kami menjangkakan indeks penanda aras didagangkan secara berhati-hati dan berada pada jajaran sempit, dengan turun naik berselang-seli dijangka berlaku memandangkan pelabur terus memantau perkembangan geopolitik dan pergerakan harga minyak dengan teliti,” katanya kepada Bernama.
Thong menjangkakan FBM KLCI bergerak dalam julat antara 1,720 hingga 1,760 mata bagi baki tempoh minggu ini,
Sementara itu, Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata prestasi kukuh dalam sektor kitaran juga menunjukkan pelabur mula menyusun semula pegangan ke arah segmen sensitif pertumbuhan ketika keadaan pasaran semakin stabil.
“Bagaimanapun, sentimen dagangan keseluruhan masih bersifat terpilih apabila pelabur terus memantau perkembangan luaran, khususnya aliran inflasi di Amerika Syarikat dan dinamik geopolitik yang boleh mempengaruhi hala tuju pasaran serantau dalam tempoh terdekat,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Tenaga Nasional masing-masing menambah enam sen kepada RM11.24 dan RM14.78, manakala IHH Healthcare naik sembilan sen kepada RM9.03, Public Bank turun satu sen kepada RM4.84 dan CIMB kurang tiga sen kepada RM7.90.
Antara saham paling aktif, Genetec menokok 11 sen kepada 36 sen, Oppstar meningkat 12.5 sen kepada 80.5 sen, VS Industry kekal pada 21 sen, Zetrix AI susut tiga sen kepada 82.5 sen dan SMRT turun setengah sen kepada 27.5 sen.
Antara kaunter paling untung, Malaysian Pacific menokok RM1.26 kepada RM42.26, UMS Integration meningkat 88 sen kepada RM8.00, Hong Leong Industries menambah 40 sen kepada RM19.30, manakala Kelington naik 33 sen kepada RM6.53.
Antara kaunter paling rugi Nestle yang merosot RM1.46 kepada RM99.74, Batu Kawan merosot 32 sen kepada RM21.08, Petronas Dagangan susut 26 sen kepada RM20.32, Hong Leong Bank menguncup 24 sen kepada RM22.10, manakala United Plantations turun 22 sen kepada RM30.30.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 22.77 mata kepada 12,954.37, Indeks FBMT 100 menambah 23.72 mata kepada 12,794.68, Indeks FBM Emas Syariah menokok 30.16 mata kepada 12,874.30, dan Indeks FBM ACE meningkat 52.48 mata kepada 4,728.28 namun, Indeks FBM Mid 70 susut 28.39 mata kepada 18,533.07.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 4.87 mata kepada 20,301.30, Indeks Perladangan kurang 40.02 mata kepada 8,798.06, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 2.91 mata kepada 198.67, manakala Indeks Tenaga menokok 0.64 mata kepada 807.82.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 2.79 bilion unit bernilai RM3.03 bilion daripada 2.45 bilion unit bernilai RM2.80 bilion pada Isnin.
Jumlah dagangan waran naik kepada 1.07 bilion unit bernilai RM148.0 juta daripada 1.05 bilion unit bernilai RM144.27 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan di Pasaran ACE melonjak kepada 1.05 bilion unit bernilai RM412.60 juta daripada 690.15 juta unit bernilai RM227.39 juta semalam.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 265.55 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (632.68 juta), pembinaan (166.17 juta), teknologi (956.18 juta), perkhidmatan kewangan (59.59 juta), hartanah (235.83 juta), perladangan (24.78 juta), amanah pelaburan hartanah (20.43 juta), dana tertutup (47,000), tenaga (93.99 juta), penjagaan kesihatan (210.77 juta), telekomunikasi dan media (26.81 juta), pengangkutan dan logistik (55.40 juta), utiliti (44.61 juta), serta amanah perniagaan (380,700).
-- BERNAMA