BERITA TERKINI   GSF 2.0: Seramai 175 aktivis diculik termasuk 10 rakyat Malaysia dan dibawa ke Israel setakat ini - SNCC | GSF 2.0: Sebanyak 21 kapal dipintas ketika menghampiri perairan Greece setakat 7 malam ini - SNCC | GSF 2.0 : Setakat 7 malam ini, kapal Tam Tam tidak dipintas, tetapi dirosakkan rejim Israel - SNCC | Satu daripada 22 kapal misi GSF yang dipintas tentera Israel berjaya dihubungi setakat 7 malam ini - Fahmi | Mahkamah Majistret Tenom perintahkan Ebit Lew membela diri atas 11 tuduhan berkaitan gangguan seksual  | 

SME Corp Fokus Lima Strategi Perkasa PMKs

Oleh Rohaiza Ab. Rahman

KOTA BHARU, 16 Okt (Bernama) -- SME Corporation Malaysia (SME Corp) akan memberi fokus kepada lima strategi untuk memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di negara ini bagi tempoh jangka panjang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Rizal Nainy berkata fokus tersebut termasuk menyediakan peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menyertai rantaian nilai syarikat besar dalam industri berimpak tinggi seperti pertanian pintar, aeroangkasa, elektrik dan elektronik, peranti perubatan, industri halal, pelancongan, bioteknologi serta minyak dan gas.

"SME Corp juga akan berusaha menggalakkan transformasi PKS ke pasaran global dengan mewujudkan rangka kerja berasaskan pasaran yang jelas," katanya kepada Bernama pada Program Chairman Entrepreneurship Lecture Series (CELS) di Universiti Malaysia Kelantan, di sini, hari ini.

Rizal berkata pihaknya juga akan melakukan pendekatan bersasar melalui transformasi dan pengembangan syarikat mikro menjadi syarikat yang lebih besar.

"Dua lagi bidang yang akan diberi tumpuan adalah pendekatan berstruktur bagi menyokong pendigitalan PKS selain memperkukuh peranan SME Corp sebagai agensi penyelaras pusat," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata bilangan perusahaan bersaiz mikro berkurangan kepada 1,101,725 premis pada 2023 berbanding 1,173, 601 premis pada tahun sebelumnya.

"Ini kerana berlaku peralihan PMKS menjadi pemain industri yang lebih besar. Kita dapati firma bersaiz kecil meningkat sebanyak 35.8 peratus, manakala bilangan perusahaan bersaiz sederhana juga turut meningkat sebanyak 7.9 peratus," katanya.

Selain itu, katanya, penurunan itu juga didorong perubahan struktur ekonomi yang berevolusi apabila perniagaan seperti kafe siber, kedai buku dan kedai muzik tidak lagi relevan pada masa kini susulan kurang permintaan.

Beliau berkata berdasarkan pertumbuhan semasa jumlah PMKS dijangka meningkat tahun ini terutamanya yang melibatkan bidang perkhidmatan dan makanan.

-- BERNAMA