BERITA TERKINI   Satu daripada 22 kapal misi GSF yang dipintas tentera Israel berjaya dihubungi setakat 7 malam ini - Fahmi | Mahkamah Majistret Tenom perintahkan Ebit Lew membela diri atas 11 tuduhan berkaitan gangguan seksual  | PM Anwar kutuk tindakan ganas rejim Zionis terhadap misi kemanusiaan GSF, sifatkan ia pelanggaran nyata undang-undang maritim | GSF: Kerajaan bekerjasama rapat dengan negara-negara sahabat, pastikan rakyat Malaysia yang ditahan dibebaskan segera - PM Anwar | Ketidaktentuan global bukan bersifat sementara, kerajaan perlu bersedia dengan langkah yang realistik dan mampan - Amir Hamzah | 

Belanjawan 2025: KPK Kemuka Dua Cadangan Perkasa Industri Sawit

PUTRAJAYA, 23 Sept (Bernama) -- Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) telah mengemukakan dua cadangan kepada Kementerian Kewangan (MOF) untuk dimasukkan ke dalam Belanjawan 2025 bagi memperkasakan industri sawit.

Menterinya Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata cadangan berkenaan adalah semakan semula levi keuntungan luar biasa (WPL) ke atas minyak sawit dan peruntukan tambahan bagi tujuan penanaman semula komoditi tersebut.

Beliau berkata, WPL perlu disemak semula agar harga minyak sawit negara kompetitif dengan negara pengeluar lain.

“Semakan semula WPL ini saya kemukakan untuk dimasukkan dalam Belanjawan 2025. Ia adalah perkara utama yang diminta oleh pemain industri (sawit),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Industri Sawit Malaysia (AISM) 2023/2024, di sini, hari ini.

Sementara itu mengenai peruntukan tambahan bagi penanaman semula sawit Johari berkata beliau turut berharap agar cadangan tersebut diberikan pertimbangan kerana ketika ini terdapat hampir 1.5 juta hektar ladang sawit yang dikendalikan oleh pekebun kecil.

“Tahun lepas kerajaan bagi RM100 juta tetapi 50 peratus adalah geran dan 50 peratus pinjaman tetapi yang akan datang ini saya ingat mereka (pekebun kecil) perlu lebih dana untuk penanaman semula sawit untuk pastikan eksport kita pada masa akan datang tidak terjejas,” katanya.

Pada Belanjawan 2024, kerajaan memperuntukkan RM100 juta menerusi Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) 2.0 dengan pembiayaan disediakan Agrobank yang menawarkan kadar faedah rendah iaitu kira-kira dua peratus.

Belanjawan 2025 dijadual dibentangkan di Parlimen pada 18 Okt depan. 

-- BERNAMA