IOI Properties Sedia Sertai FBM KLCI Dalam Semakan Jun -- CIMB Securities
KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- IOI Properties Group Bhd berkemungkinan menggantikan Sime Darby Bhd sebagai satu daripada 30 konstituen FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) dalam semakan separuh tahunan akan datang oleh FTSE Russell dan Bursa Malaysia, menurut seorang penganalisis.
Penganalisis CIMB Securities Sdn Bhd Ivy Ng Lee Fang berkata data Bloomberg setakat hari ini menunjukkan IOI Properties melonjak tempat ke-24 dalam permodalan pasaran dalam kalangan sekuriti yang layak, disokong oleh kenaikan harga saham sebanyak 87.8 peratus sejak 24 Nov, 2025.
“Di bawah peraturan asas FBM KLCI, sesebuah saham layak untuk dimasukkan jika ia berada di kedudukan ke-25 atau lebih tinggi berdasarkan permodalan pasaran yang menunjukkan IOI Properties kini bersedia untuk dimasukkan ke dalam FBM KLCI,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.
Menurut Ng, kemasukan IOI Properties berkemungkinan besar menyebabkan penyingkiran Sime Darby yang pada masa ini merupakan konstituen FBM KLCI terkecil berdasarkan permodalan pasaran.
“Berdasarkan anggaran awal kami, IOI Properties akan membawa wajaran indeks sekitar 1.05 peratus berbanding wajaran semasa Sime Darby sebanyak 1.37 peratus,” katanya.
Bagaimanapun, beliau memberitahu perkara ini tertakluk kepada syarat bahawa IOI Properties mengekalkan kedudukannya dalam kelompok 25 teratas menjelang tarikh tutup 25 Mei, 2026 bagi semakan indeks Jun.
FTSE Russell dan Bursa Malaysia menjalankan semakan komponen FBM KLCI secara separuh tahunan dengan semakan akan datang berdasarkan data pada 25 Mei, 2026 iaitu kira-kira 15 hari dagangan dari hari ini.
Keputusan awal akan diumum pada 3 Jun, 2026 melalui notis teknikal diikuti dengan penerbitan semakan akhir pada 4 Jun, 2026.
Kesemua perubahan konstituen bagi indeks penanda aras tersebut akan berkuat kuasa pada 22 Jun, 2026.
Menyentuh mengenai Hong Leong Financial Group Bhd yang kini berada di kedudukan ke-27 dari segi permodalan pasaran, Ng berkata syarikat itu tidak mungkin layak untuk disenaraikan semula ke dalam FBM KLCI walaupun ia berjaya melonjak ke kedudukan 25 teratas, memandangkan ia tidak memenuhi keperluan mudah tunai FTSE Russell.
“Sebagai makluman, sesebuah saham bukan konstituen mesti melepasi ambang mudah tunai dalam sekurang-kurangnya 10 daripada 12 bulan dengan pusing ganti median bulanan sekurang-kurangnya 0.05 peratus daripada saham tertunggak (diselaraskan mengikut wajaran kebolehpelaburan), berdasarkan median jumlah dagangan harian secara pro-rata sejak penyenaraian,” jelas beliau.
-- BERNAMA