KUCHING, 7 Julai (Bernama) -- Kerajaan Sarawak hari ini membentangkan Rang Undang-Undang Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keanggotaan) 2025 untuk menambah bilangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada 82 kepada 99 orang.
Rang undang-undang yang dibentangkan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah itu, bertujuan mencerminkan perubahan demografi, kawasan bandar yang semakin berkembang dan keperluan yang kian meningkat terhadap perwakilan yang adil di negeri ini.
"Berdasarkan keluasan geografi Sarawak yang sangat besar dan kawasan itu perlu diliputi oleh beberapa ADUN atau wakil rakyat yang mewakili kawasan luar bandar, maka penambahan bilangan ADUN yang dicadangkan ini adalah munasabah dan perlu.
"Langkah ini akan meningkatkan akses rakyat kepada tadbir urus. Ia akan memastikan keperluan dan kebimbangan rakyat ditangani dengan lebih cekap dan berkesan serta menambah baik penyampaian perkhidmatan melalui kepimpinan yang lebih dekat dan responsif terhadap rakyat," katanya pada sidang khas DUN Sarawak di sini hari ini.
Abdul Karim berkata pindaan yang dicadangkan itu akan memansuhkan Ordinan Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keanggotaan) 2014 (Bab 70), yang menetapkan 82 kerusi.
Beliau berkata komposisi baharu ini sebaik sahaja diluluskan dan diwartakan, akan dilaksanakan untuk pilihan raya negeri akan datang.
"Pengundi akan memilih 99 ADUN untuk Dewan ini. Perubahan ini akan memastikan Dewan kekal responsif, relevan dan bersedia untuk berkhidmat ke setiap pelosok negeri dengan lebih cekap dan menyeluruh," katanya.
Menelusuri kemajuan sejarah badan perundangan negeri, Abdul Karim berkata bilangan kerusi telah meningkat secara progresif sejak beberapa tahun, bermula dengan 48 kerusi pada 1969, meningkat kepada 56 (1985), 62 (1995), 71 (2005), dan 82 pada 2014.
Beliau berkata rang undang-undang baharu ini sejajar dengan Perkara 113(2)(ii) Perlembagaan Persekutuan, yang membenarkan kajian semula sempadan pilihan raya dilakukan pada selang masa tidak kurang lapan tahun.
"Kali terakhir semakan persempadanan di Sarawak dibuat pada 2015, sejak itu, kita melihat pertumbuhan ketara jumlah penduduk dan bilangan pengundi, terutama selepas umur kelayakan pengundi diturunkan daripada 21 kepada 18 tahun," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA provides up-to-date authentic and comprehensive news and information which are disseminated via BERNAMA Wires; www.bernama.com; BERNAMA TV on Astro 502, unifi TV 631 and MYTV 121 channels and BERNAMA Radio on FM93.9 (Klang Valley), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) and FM100.9 (Kuching) frequencies.
Follow us on social media :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial