BUSINESS

SEEK, JOBSTREET, JOBSDB GABUNG PLATFORM PASARAN KERJA BAGI RANTAU ASIA PASIFIK

21/02/2024 09:37 PM

KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) -- SEEK telah berjaya menggabungkan pasaran pekerjaan Asia Pasifik (APAC) Jobstreet dan Jobsdb, yang akan beroperasi di bawah platform tunggal  yang dikuasakan oleh teknologi kecerdasan buatan (AI) bertaraf dunia SEEK sambil mengekalkan jenama individu masing-masing.

Integrasi tersebut bertujuan untuk mengumpulkan jutaan  bakat dan majikan di seluruh rantau APAC untuk memadankan pencari kerja dan majikan dengan tepat selepas 10 tahun pemerolehan Jobstreet dan Jobsdb, diikuti dengan tiga tahun pembangunan dengan anggaran pelaburan bernilai AUD$180 juta (RM560 juta).

Ketua Pegawai Eksekutif SEEK Asia, Peter Bithos, dalam satu kenyataan, berkata langkah untuk beroperasi di bawah satu gabungan platform meletakkan syarikat itu dalam kedudukan yang lebih kukuh untuk merealisasikan cita-citanya membantu 500 juta orang membangunkan kerjaya mereka dengan lima juta syarikat di rantau ini.

“Di SEEK, segala-galanya yang kami lakukan adalah berkaitan dengan pelanggan kami. Satu platform bersatu bermakna kami kini boleh menawarkan produk kami kepada jutaan orang merentasi Asia dengan cara baharu sepenuhnya, supaya pelanggan kami dapat mencari pekerjaan dan bakat dengan lebih mudah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut turut memaklumkan kadar pengangguran di Malaysia telah kembali ke tahap sebelum pandemik COVID-19 iaitu sebanyak 3.3 peratus, memberi masalah kepada banyak organisasi seperti ketidakpadanan bakat atau kemahiran.

Oleh itu, untuk menangani jurang itu, majikan kini boleh memanfaatkan sumber bakat yang lebih luas, melebihi 40 juta orang merentasi lapan pasaran APAC dan bakat boleh mengakses peluang pekerjaan daripada lebih 2.5 juta majikan, termasuk lebih banyak peluang pekerjaan jauh.

“Ini sejajar dengan dapatan kajian yang menunjukkan bahawa 68 peratus bakat sanggup bekerja dari jauh bagi majikan yang tiada kehadiran fizikal di negara mereka.

“Ciri-ciri baharu SEEK ini terutamanya membantu mereka mahu merekrut bakat berpangkalan di pasaran lain dan bagi rakyat Malaysia yang ingin meneroka peluang pekerjaan di syarikat yang berpangkalan di luar negara,” menurut kenyataan itu.

Mengulas lanjut, Pengarah Urusan Jobstreet by SEEK Malaysia Vic Sithasanan berkata dengan menawarkan penyelesaian berpaksikan AI SEEK, Jobstreet kini dapat membantu majikan dan bakat di Malaysia untuk mencari padanan yang lebih baik dengan lebih cekap serta mengemudi pasaran pekerjaan dengan berkesan.

“Sebagai peneraju platform pencarian pekerjaan di Malaysia dan baru-baru ini diberi penghormatan sebagai pemenang emas untuk e-dagang di Anugerah Jenama Putra Aria, satu pengiktirafan berprestij yang ditentukan oleh pilihan orang ramai. Kami teruja untuk memudahkan padanan pekerjaan yang lebih disesuaikan antara majikan dan pencari kerja dalam negara,” katanya.

Peningkatan AI yang dikuasakan platform Jobstreet oleh SEEK akan menyediakan majikan dengan model AI untuk menilai kesesuaian bakat dan memberikan cadangan yang sangat peribadi dengan memproses data daripada pelbagai sumber, termasuk resume, huraian iklan pekerjaan dan tingkah laku majikan yang lepas.

Ciri-ciri tersebut akan membolehkan majikan mempunyai proses pengambilan pekerja yang lebih cekap serta mempercepatkan proses penyenaraian pendek bakat dengan menambahkan soalan saringan yang dicadangkan oleh AI dalam iklan pekerjaan mereka.

Menjadikan proses pencarian pekerjaan lebih cekap dan relevan untuk bakat, pencari kerja kini boleh dipadankan dengan mudah dengan pekerjaan yang dicadangkan AI yang mereka paling berkelayakan berdasarkan pengalaman dan kemahiran mereka.

“Penggunaan AI, Jobstreet juga meramalkan apabila seseorang itu berkemungkinan calon yang kuat untuk sesuatu peranan dengan menunjukkan pemohon terbaik, jadi bakat boleh membuat keputusan yang lebih termaklum sama ada untuk memohon jawatan itu," menurut kenyataan itu.

Berikutan integrasi program, Jobstreet kini boleh memanfaatkan set data yang lebih besar di seluruh APAC, yang akan memperkasakan algoritma AI-nya untuk menyediakan padanan yang lebih tepat dan relevan antara majikan dan bakat, membuktikan pengalaman pengguna yang lebih tinggi dan mempercepatkan proses pengambilan pekerja di platformnya.

Gabungan platform baharu ini dapat meningkatkan penggunaan wawasan yang didorong oleh data, ujian produk dan inovasi pada kadar yang cepat.

Pengguna boleh mendapatkan maklumat lanjut platform baharu Jobstreet/Jobsdb oleh SEEK dengan melayari jobstreet.com / jobsdb.com atau muat turun aplikasinya di Google Play Store atau App Store.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA provides up-to-date authentic and comprehensive news and information which are disseminated via BERNAMA Wires; www.bernama.com; BERNAMA TV on Astro 502, unifi TV 631 and MYTV 121 IFLIX channels and BERNAMA Radio on FM93.9 (Klang Valley), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) and FM100.9 (Kuching) frequencies.

Follow us on social media :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy