WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Hasrat Muhammad Aidil Tercapai, Ibu Harap Organ Jadi Amal Jariah Anak

19/11/2026 05:59 PM

KOTA BHARU, 19 Nov (Bernama) -- Ibu kepada penderma organ Muhammad Aidil Ahmad Zupardi, Che Sharifah Che Mat Soud berharap organ anaknya dapat memberi manfaat kepada pesakit yang memerlukannya. 

“Saya juga berharap ia menjadi amal jariah buat arwah,” kata wanita itu kepada pemberita semasa ditemui di rumahnya di Padang Tembak, Pengkalan Chepa di sini hari ini. 

Che Sharifah, 63, juga merakamkan penghargaan kepada pihak terlibat menguruskan pendermaan organ itu termasuk Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Unit Perolehan Organ Hospital (UPOH) Hospital Raja Perempuan Zainab II dan Pusat Transplan Kebangsaan.

Muhammad Aidil, 23, menjadi penderma organ selepas ahli keluarganya memberikan persetujuan apabila lelaki itu disahkan mengalami kematian otak akibat kecederaan otak yang serius selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya. 

Sementara itu, rakan karib arwah Muhammad Haiqal Izham Saifulmizam, 21, berkata hasrat Muhammad Aidil untuk menjadi penderma organ tercapai dan berharap kebaikan itu akan menjadi bekalan untuk arwah. 

“Arwah pernah menyuarakan hasrat untuk menderma organ… arwah memang seorang yang disenangi, ringan tulang, gemar membantu dan suka bersedekah,” katanya.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Teluk Puteri, Padang Tembak pada 2.18 petang tadi, selepas disembahyangkan di Masjid Mustaqim, Taman Kemumin, Pengkalan Chepa. 

Sementara itu, HPUSM dalam kenyataan memaklumkan pasukan perubatan berjaya memperoleh tulang, hati, buah pinggang dan kornea menerusi proses pendermaan organ Allahyarham.

HPUSM memaklumkan Allahyarham ialah pengikrar derma organ dan hasratnya dilaksanakan dengan persetujuan ahli keluarga selepas dirinya disahkan mengalami kematian otak.

Terdahulu, HPUSM memaklumkan bangunan hospital diterangi lampu berwarna hijau malam tadi sebagai simbolik pembedahan pendermaan organ selain sebagai sokongan dan penghargaan terhadap jasa itu.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan