WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Airborneo Pacu Transformasi Miri Sebagai Hab Pelancongan, Konvensyen Antarabangsa

19/11/2026 07:19 PM

MIRI, 19 Nov (Bernama) -- Syarikat penerbangan milik Sarawak, AirBorneo, dijangka memperkukuh transformasi Miri sebagai destinasi pelancongan dan konvensyen antarabangsa dengan menangani satu daripada cabaran terbesar negeri itu, iaitu kesalinghubungan udara.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata negeri tersebut mempunyai potensi besar untuk menarik penganjuran persidangan, pameran dan kehadiran pelancong antarabangsa, namun kebergantungan pada syarikat penerbangan sedia ada telah mengehadkan keupayaannya untuk memanfaatkan sektor itu sepenuhnya.

Beliau berkata keputusan kerajaan negeri untuk menubuhkan AirBorneo ialah langkah strategik bagi meningkatkan kesalinghubungan dan menyokong pertumbuhan sektor pelancongan dan industri perkhidmatan yang lain.

"Kita mempunyai keindahan alam semula jadi di sini dan ekosistem semula jadi yang berbeza dari tempat lain. Mereka yang datang ke sini untuk menghadiri forum dan persidangan juga memerlukan alam semula jadi untuk melengkapkan pengalaman mereka.

"Satu-satunya kekangan yang kita hadapi ialah kesalinghubungan udara kerana kita bergantung pada syarikat penerbangan lain. Oleh itu, kerajaan Sarawak memutuskan jika inilah kelemahannya, kita perlu menubuhkan syarikat penerbangan sendiri. Di sinilah peranan AirBorneo," katanya semasa merasmikan Kenyalang Convention and Exhibition Centre One (KCEC One) dan Borneo Adventure Water Theme Park di sini, hari ini.

Abang Johari berkata AirBorneo mengguna pakai model perniagaannya sendiri dengan mengambil pengajaran daripada hab penerbangan dan pelancongan antarabangsa seperti Dubai, dengan pelaburan strategik dalam kesalinghubungan udara membantu mengubah bandar itu menjadi destinasi utama dunia.

Beliau berkata model perniagaan syarikat penerbangan tersebut dirangka untuk menawarkan tambang yang kompetitif, di samping menyokong matlamat pembangunan ekonomi Sarawak secara menyeluruh.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan