SEREMBAN, 30 Mei (Bernama) -- Seorang lelaki warga Singapura cedera selepas dipercayai terjatuh di kawasan berbatu ketika menuruni Gunung Datuk, Rembau di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Pegawai Bomba Tinggi II Asnizam Kamberon berkata pihaknya menerima panggilan berhubung insiden yang menimpa mangsa berusia 52 tahun itu pada 10.29 pagi.
“Mangsa antara 11 orang yang menyertai aktiviti pendakian ke puncak Gunung Datuk dengan diiringi dua Malim Gunung Perhutanan Negeri Sembilan.
“Dia dipercayai terjatuh di kawasan berbatu berhampiran tangga puncak ketika menuruni gunung berkenaan dan mengalami kecederaan patah pada tangan kanan,” katanya kepada Bernama.
Asnizam berkata Pasukan Keluaran Operasi kemudian mendaki ke lokasi mangsa berada, iaitu kira-kira dua kilometer dari kaki gunung, dan membawanya turun menggunakan pengusung.
Beliau berkata mangsa kemudian diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan bagi tindakan selanjutnya, dan operasi melibatkan lima anggota itu tamat pada 2.28 petang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial