ALOR SETAR, 30 Mei (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah setakat ini telah membuka tiga kes berkaitan penyalahgunaan kad fleet yang masih dalam siasatan lanjut.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Kedah, Zalina Aziz berkata pihaknya juga sedang membuat semakan semula terhadap syarikat yang diberikan kemudahan kada fleet bagi memastikan ia tidak disalahgunakan atau melanggar syarat ditetapkan.
“Contohnya, ada syarikat mengisytiharkan mempunyai 20 lori tetapi selepas semakan mungkin hanya 10 lori sahaja yang benar-benar wujud.
“Jika didapati berlaku pelanggaran syarat atau penyalahgunaan, kita akan mengesyorkan pembatalan kad fleet pihak terbabit kepada ibu pejabat,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Sementara itu, beliau berkata pelaksanaan Ops Tiris Bersepadu 4.0 dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan 30 kes dengan 16 kes melibatkan rampasan diesel manakala 14 kes membabitkan petrol di negeri itu.
“Ops Tiris yang dilaksanakan bermula 16 Mac hingga kini, merekodkan nilai keseluruhan sitaan mencecah RM1.4 juta dan sebanyak 26 kenderaan turut disita,” katanya.
Sementara itu, Zalina berkata ketika ini terdapat kira-kira 190 anggota penguat kuasa di lima cawangan di seluruh negeri, namun masih berdepan kekangan untuk memantau keseluruhan 362 stesen minyak di Kedah.
Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 30 stesen minyak diberi pemantauan khusus termasuk 18 di kawasan sempadan seperti Bukit Kayu Hitam, Durian Burung dan Baling.
“Di kawasan industri seperti Sungai Petani dan Kulim, cabarannya lebih besar kerana terdapat banyak laluan keluar masuk serta kawasan kilang yang luas menyebabkan kegiatan penyelewengan bahan api sukar dijangka.
“Mereka yang terlibat juga sering menukar kenderaan dan nombor pendaftaran bagi mengelak dikesan pihak berkuasa dan menjalankan kegiatan pada waktu awal pagi disebabkan kurangnya pekerja di stesen,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata kerjasama erat dengan PDRM berjaya membantu dari segi risikan dan operasi lapangan serta meningkatkan aspek keselamatan anggota penguat kuasa ketika menjalankan tugas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial