KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Anggota Jemaah Menteri hari ini menzahirkan ucapan selamat menyambut Pesta Kaamatan kepada masyarakat Kadazan-Dusun, Murut dan Rungus di Sabah, yang meraikannya pada hari ini dan esok.
Menerusi hantaran di platform media sosial masing-masing, mereka menyifatkan Kaamatan bukan sekadar pesta menuai, sebaliknya simbol perpaduan, warisan budaya dan semangat kebersamaan yang menjadi tunjang keharmonian rakyat pelbagai kaum di negara ini, khususnya di Sabah.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata Pesta Kaamatan merupakan warisan budaya yang amat berharga kepada rakyat Sabah dan menjadi kekuatan masyarakat sejak turun-temurun.
Beliau berkata tema sambutan tahun ini, “Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian,” mencerminkan aspirasi untuk terus memelihara nilai saling menghormati, menghargai kepelbagaian budaya serta memperkukuh ikatan persaudaraan yang menyatukan rakyat berbilang kaum dan latar belakang.
“Semoga sambutan Kaamatan tahun ini membawa kegembiraan dan semangat baharu untuk kita bersama-sama membina masa depan Sabah yang lebih maju, makmur dan harmoni. Kotobian Tadau Tagazo do Kaamatan (Selamat Hari Besar Kaamatan),” katanya.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata Pesta Kaamatan atau Tadau Kaamatan (bahasa Kadazandusun) merupakan simbol kesyukuran sempena musim menuai, yang diwarisi turun-temurun dan terus menjadi sebahagian daripada identiti budaya Sabah.
Beliau berkata sambutan yang penuh warna-warni itu, bukan sahaja mencerminkan semangat perpaduan dan kebersamaan masyarakat pelbagai etnik di negeri berkenaan, malah menyerlahkan keunikan warisan budaya Malaysia kepada dunia, selaras dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Semoga Pesta Kaamatan tahun ini disambut dengan penuh kegembiraan, kesyukuran dan keharmonian, sekali gus terus memperkukuh jati diri Malaysia sebagai sebuah negara yang kaya dengan budaya, tradisi dan nilai perpaduan,” katanya.
Sementara itu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup pula berkata sambutan Kaamatan bukan sekadar kesinambungan warisan budaya, malah platform penting untuk memperkukuh perpaduan, keharmonian dan memupuk kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar.
Ahli Parlimen Pensiangan itu berkata semangat Kaamatan turut mempunyai kaitan rapat dengan tanggungjawab bersama dalam memelihara alam sekitar.
“Sebagaimana masyarakat tradisi menghargai tanah dan alam semulajadi demi kelangsungan hidup, begitulah juga kita pada hari ini perlu terus komited dalam memelihara khazanah alam agar kemakmuran ini dapat terus dituai oleh generasi akan datang.
“Kelestarian alam tanggungjawab bersama dan keharmonian sesama insan akan menjadi lebih bermakna apabila kita juga hidup harmoni dengan persekitaran kita,” katanya.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pula berharap sambutan Kaamatan tahun ini terus menyemarakkan rasa cinta sesama insan, memperkukuh keamanan yang kecapi serta membawa limpahan rezeki, kemakmuran dan kesejahteraan kepada seluruh rakyat dan negara.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi turut berharap sambutan pesta menuai itu membawa kegembiraan, keberkatan dan mengeratkan lagi silaturahim dalam kalangan rakyat.
“Buat mereka yang pulang ke kampung, berhati-hati di jalan raya dan semoga selamat sampai ke destinasi,” katanya.
Turut menyampaikan ucapan menerusi media sosial ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial