KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Supermax Corporation Bhd, melalui syarikat sekutunya, Supermax Brasil Importadora S/A (Supermax Brasil) akan menubuhkan kilang pembuatan sarung tangan perubatan di Paraná, Brazil, dengan komitmen pelaburan keseluruhan 250 juta Real Brazil (US$50 juta).
Dalam satu kenyataan hari ini, ia memaklumkan pelaburan strategik itu merupakan satu pencapaian penting dalam strategi pengembangan antarabangsa jangka panjang kumpulan dan memperkukuh komitmen Supermax di pasaran penjagaan kesihatan dan industri di Amerika Latin.
“Kumpulan percaya Brazil menawarkan peluang pertumbuhan jangka panjang yang menarik disebabkan sektor penjagaan kesihatannya yang besar dan berkembang; peningkatan permintaan serantau terhadap sarung tangan perubatan dan industri; akses strategik ke pasaran Mercosur; serta inisiatif berterusan kerajaan bagi menyokong pembuatan tempatan dan mengurangkan import,” tambahnya.
Supermax Brasil telah terlibat secara aktif dengan pihak berkuasa dan pihak berkepentingan Brazil yang berkaitan berhubung pelaksanaan projek itu dan pembangunan ekosistem pembuatan tempatan.
Kumpulan itu juga berhasrat untuk memperluas pasaran ke negara anggota bersekutu Mercosur termasuk Chile, Colombia, Ecuador, Guyana, Panama, Peru dan Suriname.
Mengenai struktur pembiayaan, ia menyatakan pelaburan itu akan dilaksanakan dalam dua fasa. Fasa Pertama akan melibatkan pelaburan awal sekitar 150 juta Real Brazil (US$30 juta), yang akan dibiayai melalui keuntungan yang disimpan dalam syarikat (tidak dibayar sebagai dividen).
Bagi Fasa Dua, ia merangkumi fasa pengembangan selanjutnya bagi menyokong pertumbuhan pasaran masa depan dan pengembangan permintaan serantau.
Sementara itu, Supermax mencatatkan kerugian bersih yang lebih tinggi kepada RM41.14 juta pada suku ketiga berakhir 31 Mac, 2026 daripada RM23.81 juta dalam suku yang sama tahun lepas.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, ia menyatakan hasil turut berkurangan kepada RM126.76 juta daripada RM203.67 juta, terutamanya disebabkan oleh kesan pengukuhan ringgit berbanding dolar AS dan harga jualan purata (ASP) yang lebih rendah.
Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Mac, 2026, kerugian bersih meningkat kepada RM234.19 juta daripada RM93.35 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya, manakala hasil merosot kepada RM519.76 juta daripada RM627.11 juta sebelum ini.
Mengenai prospek, ia menyatakan secara keseluruhannya, kumpulan menjangkakan tinjauan yang positif.
“Di sebalik kekangan kos yang berterusan, permintaan penjagaan kesihatan yang kukuh dan keadaan pasaran luar negara yang bertambah baik menyediakan asas yang kukuh untuk daya tahan serta penciptaan nilai yang mampan.
“Kami sedang berusaha ke arah pemulihan kumpulan dan kekal yakin ia akan kembali mencatatkan keuntungan pada separuh kedua 2026,” tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial