WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BKJ Warga Emas Ditambah Baik, Kerajaan Johor Utamakan Kebajikan Penerima - Exco

26/05/2026 07:13 PM

JOHOR BAHRU, 26 Mei (Bernama) -- Kerajaan Negeri Johor mengambil langkah segera menambah baik proses penyampaian Bantuan Kasih Johor (BKJ) untuk warga emas bagi memastikan aspek kebajikan rakyat diutamakan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Khairin-Nisa Ismail @ Md On berkata langkah itu diambil susulan kebimbangan, pandangan dan teguran orang ramai berhubung isu penerima yang terpaksa menunggu lama serta beratur panjang di beberapa lokasi sebelum ini.

Beliau berkata beberapa langkah penambahbaikan segera telah dilaksanakan bagi memastikan proses agihan BKJ terutamanya kategori warga emas berjalan lebih tersusun, lancar dan mesra penerima.

“Pertama, Kerajaan Negeri telah mewujudkan butang khas ‘Saya adalah penerima uzur/OKU’ dalam sistem BKJ Johor melalui laman web https://bkj.johor.gov.my.

“Kemudahan ini membolehkan penerima yang uzur, sakit terlantar, berkerusi roda, orang kurang upaya (OKU), baru bersalin, baru kehilangan suami atau waris terdekat, atau mempunyai kekangan kesihatan tertentu membuat semakan dan pengesahan tanpa perlu hadir secara fizikal,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.

Khairin-Nisa berkata bagi penerima warga emas dan OKU yang benar-benar tidak mampu hadir, penyerahan bantuan akan diuruskan melalui kaedah yang lebih sesuai, termasuk secara khas atau terus ke rumah penerima.

“Selain itu, kerajaan negeri turut membenarkan wakil mengambil bantuan bagi pihak penerima tertentu dengan membawa dokumen yang diperlukan seperti surat wakil, salinan kad pengenalan penerima serta pengesahan ketua kampung, penghulu atau pihak berkaitan.

“Kelonggaran ini diberikan supaya penerima yang uzur, sakit atau mempunyai kekangan kesihatan tidak perlu bersusah payah hadir, menunggu lama atau beratur dalam keadaan yang tidak selesa,” katanya.

Kerajaan negeri, katanya, komited untuk terus menambah baik pelaksanaan BKJ dari semasa ke semasa demi memastikan kebajikan rakyat Johor sentiasa terpelihara dan bantuan dapat disampaikan dengan lebih cekap, teratur serta menyeluruh kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

“Terima kasih atas segala pandangan, teguran dan kerjasama yang diberikan. Insya-Allah, setiap maklum balas akan terus dijadikan panduan untuk memperkukuh lagi penyampaian bantuan kepada rakyat Johor,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan