WILAYAH - SELATAN > BERITA

Insiden FSO Sepat: Jenazah Terakhir Dikebumikan Di Alor Gajah

25/05/2026 10:36 PM

ALOR GAJAH, 25 Mei (Bernama) -- Mangsa terakhir yang maut dalam kejadian bot penyelamat terjatuh ke laut ketika menjalankan kerja penyelenggaraan di Kemudahan Penyimpanan dan Pemindahan Terapung (FSO) Sepat dekat perairan Terengganu–Kelantan semalam, selamat dikebumikan di sini, malam ini.

Allahyarham Ahmad Fiqri Zakaria, 38, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Padang Sebang kira-kira 9.20 malam selepas selesai disembahyangkan di Masjid Al-Najihin Padang Sebang.

Terdahulu, suasana sayu menyelubungi saat van jenazah yang membawa Allahyarham tiba di pekarangan masjid berkenaan pada 8.35 malam selepas bertolak dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu pada 2.54 petang sebaik proses bedah siasat selesai dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik HSNZ.

Solat jenazah kemudiannya diimankan oleh ayah Allahyarham sendiri, Zakaria Mohamed bersama-sama hampir 200 ahli keluarga, penduduk kampung dan kenalan yang hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Ahmad Fiqri.

Dalam kejadian pada 12.50 tengah hari semalam, tiga pekerja pelantar minyak maut, manakala seorang lagi cedera parah.

Jenazah Nik Muhammad Hafifi Asri Ab Majid, 38, dan Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustamam, 28, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Setali di Kuantan, Pahang petang tadi.

Mohd Taufik Mohd Ruslan, 37, yang mengalami kecederaan parah sedang dirawat di HSNZ. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan