WILAYAH - TENGAH > BERITA

Kasih Mentua Pembakar Semangat Untuk Cemerlang Di Universiti

09/05/2026 03:44 PM

SHAH ALAM, 9 Mei (Bernama) -- Sokongan dan pengorbanan ibu mentua membakar semangat seorang pembantu tadbir untuk menamatkan pengajian dengan cemerlang di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Nurul Fatihah Normallis, 28, berkata kejayaan menggenggam Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sistem Pejabat dengan kepujian kelas pertama cukup bermakna kerana menjadi penghargaan kepada ibu mentuanya yang membantu membiayai pengajian selama empat tahun bermula 2021.

Wanita tersebut berkata ibu mentuanya Asmah Miswan, 61, mula membantu dari aspek kewangan dan kerap memberi semangat kepada dirinya sepanjang pengajian semasa dirinya belum bergelar menantu dalam keluarga itu. 

“Mama (Asmah) sangat mementingkan pendidikan. Dia percaya pendidikan boleh mengubah kehidupan, sebab itu dia membantu saya sebaik mungkin. Saya jadi lebih bersungguh-sungguh untuk berjaya, tidak boleh main-main (dalam belajar),” katanya. 

Nurul Fatihah yang kini bertugas di Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Selangor ditemui selepas sidang empat Istiadat Konvokesyen UiTM ke-104 di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM di sini hari ini.

Tidak terhenti di situ, Nurul Fatihah berkata ibu mentuanya terus memberi sokongan kepadanya yang kini melanjutkan pengajian peringkat sarjana secara separuh masa dalam bidang sama, selain kerap bertanya jika dirinya memerlukan bantuan supaya dapat belajar dengan selesa. 

“Saya sangat terharu kerana bukan semua berpeluang memiliki mentua yang sanggup berkorban untuk pendidikan menantu. Mama selalu tanya jika ada duit atau apa yang kurang membuatkan saya rasa dihargai dan disayangi,” katanya yang berhasrat melanjutkan pelajaran sehingga peringkat Doktor Falsafah (PhD).

Sementara itu, Asmah berkata terpanggil untuk membantu kerana tersentuh melihat kesungguhan Nurul Fatihah yang semasa itu sedang berkawan dengan anaknya melakukan dua pekerjaan dalam satu masa untuk membantu keluarga dengan menggunakan kelulusan diploma.

Bekas pesara sebuah badan berkanun itu berkata keputusan membantu Nurul Fatihah menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda hingga ke sarjana ketika ini juga dibuat supaya masa depan wanita itu lebih terjamin.

“Saya percaya seseorang perlu diberi peluang untuk belajar supaya masa depannya lebih baik. Saya anggap dia seperti anak sendiri, jadi tidak pernah fikir soal lain termasuk jodoh sebab pada usia itu dia sepatutnya belajar.

“Mungkin ini rezeki dia dan saya bersyukur dapat jadi sebahagian daripada perjalanan hidup dan kejayaannya hari ini,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan