WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Gagal Kemuka Dokumen Kewangan, ROS Arah MTUC Dibubar Sementara

07/05/2026 10:21 PM

PUTRAJAYA, 7 Mei (Bernama) -- Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menerima perintah pembubaran sementara daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) berkuat kuasa hari ini susulan kegagalan mengemukakan beberapa dokumen dan maklumat kewangan yang diminta.

Menurut notis bertarikh 7 Mei 2026 yang dikeluarkan di bawah Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan 1966, MTUC diarah dibubarkan sementara selepas didapati tidak menyerahkan maklumat tertentu yang diminta oleh Pendaftar Pertubuhan.

Menurut perintah rasmi itu, ROS mendapati MTUC tidak mematuhi arahan bertulis bertarikh 6 April lepas antaranya salinan penyata penerimaan dan pembayaran serta kunci kira-kira yang telah diaudit bagi tahun 2020 hingga 2025 selain senarai berkaitan kewangan, wang, harta atau faedah yang diterima daripada pihak luar negara bagi tempoh sama.

Notis berkenaan turut memaklumkan bahawa MTUC mempunyai tempoh 30 hari untuk mengemukakan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri mengikut Seksyen 18 Akta Pertubuhan 1966.

Dokumen itu ditandatangani oleh ROS Selangor Nurul Azhar Husin dan dihantar kepada Setiausaha MTUC manakala satu salinan turut dihantar kepada Presidennya, Datuk Abdul Halim Mansor dan Bendahari Bindu Girdharlal Patel.

ROS turut memaklumkan bahawa sekiranya tiada rayuan dikemukakan dalam tempoh 30 hari atau rayuan ditolak, pembubaran sementara itu akan menjadi muktamad, dan MTUC dianggap sebagai pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

Notis itu memaklumkan di bawah Seksyen 42 Akta Pertubuhan 1966, mana-mana pemegang jawatan atau individu yang mengurus atau membantu pengurusan pertubuhan yang menyalahi undang-undang boleh dikenakan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM15,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, MTUC boleh mengemukakan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri dalam tempoh 30 hari dari tarikh perintah dikeluarkan.

MTUC ialah kesatuan kebangsaan tertua mewakili pekerja-pekerja di Malaysia yang ditubuhkan pada 1949 dan didaftarkan di bawah Akta Kemasyarakatan 1955.

Sementara itu, ROS dalam kenyataan memaklumkan bahawa tindakan mengeluarkan Perintah Pembubaran Sementara terhadap MTUC dibuat mengikut peruntukan Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan 1966 susulan ketidakpatuhan berterusan pertubuhan itu terhadap arahan bertulis jabatan berkenaan.

"ROS menegaskan bahawa setiap tindakan pengawalseliaan terhadap pertubuhan berdaftar dilaksanakan secara profesional, telus dan berlandaskan undang-undang yang berkuat kuasa.

"Jabatan ini tidak dipengaruhi oleh sebarang kepentingan mana-mana pihak dan setiap keputusan dibuat berdasarkan penelitian dokumen, fakta serta pematuhan kepada prosedur yang ditetapkan," menurut kenyataan itu.

ROS turut menegaskan komitmennya untuk melaksanakan tanggungjawab pengawalseliaan secara tegas, adil dan berintegriti bagi memastikan setiap pertubuhan berdaftar beroperasi secara teratur, telus serta mematuhi kehendak perundangan negara.

-- BERNAMA 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan