KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) untuk menyegerakan pelaksanaan operasi pembenihan awan di negeri-negeri yang berada pada tahap kritikal, khususnya Kedah dan Perlis.
Beliau berkata langkah itu merupakan keperluan mendesak dalam mendepani situasi cuaca semasa, selain menyarankan penggunaan teknologi dron bagi mengatasi kekangan logistik agar operasi berkenaan dapat dilaksanakan dengan lancar.
“Saya arahkan MetMalaysia menyegerakan pelaksanaannya, termasuk meneroka penggunaan teknologi dron serta kerjasama dengan pelbagai pihak bagi menampung kekurangan pesawat bersesuaian, demi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.
Terdahulu, Anwar mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bagi meneliti perancangan dasar serta keutamaan kementerian sepanjang tahun ini.
Selain isu cuaca, pertemuan itu turut membincangkan perkara berkaitan kebajikan tiga ekor gajah milik Malaysia iaitu Dara, Amoi dan Kelat yang kini berada di Jepun.
Beliau berkata kebajikan haiwan berkenaan perlu menjadi keutamaan NRES dan Zoo Taiping, selain menuntut ketelusan maklumat kepada orang awam.
“Sebarang keputusan dan tindakan perlu dilaksanakan berasaskan fakta serta mengambil kira kebajikan terbaik Dara, Amoi dan Kelat. Maklumat yang telus dan berfakta perlu disalurkan secara berterusan agar rakyat mendapat gambaran sebenar mengenai keadaan mereka di sana,” katanya.
Penempatan tiga gajah milik Malaysia di Jepun mencetuskan perdebatan hangat apabila timbul dakwaan mengenai tahap kebajikan haiwan berkenaan yang dikatakan tidak berada pada tahap sewajarnya, yang mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat negara ini.
Perkara itu dibangkitkan seorang rakyat Malaysia yang berkongsi pengalamannya selepas melawat Zoo Tennoji di Jepun, dan melihat sendiri keadaan tiga gajah terbabit yang dilaporkan ditempatkan dalam persekitaran panas serta kering, dengan kekurangan elemen semula jadi seperti tumbuhan hijau mencukupi.
Sementara itu, Anwar turut mengingatkan kepentingan aspek pengurusan dan tadbir urus berkesan dalam kementerian berkenaan.
“Mengakhiri pertemuan, saya tegaskan kepentingan tatakelola berkualiti, integriti yang utuh dan sifar toleransi terhadap ketirisan. Inilah asas kepada ikhtiar kita dalam membina Malaysia yang inklusif, makmur dan mampan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial