BERITA TERGEMPAR   Thomas Cup: China 2 Malaysia 0: Liang Wei Keng-Wang Chang bt Aaron Chia-Soh Wooi Yik 24-22, 21-14 | 
 WILAYAH - UTARA > BERITA

KPDN Perak Gagalkan Cubaan Individu Beli Diesel Guna Tong Dram Tanpa Kebenaran

01/05/2026 12:54 PM

IPOH, 1 Mei (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menggagalkan cubaan seorang warga tempatan membeli minyak diesel yang diisi ke dalam tong dram tanpa kebenaran dalam Ops Tiris 4.0 di Kuala Kangsar, pagi tadi.

Pengarah KPDN Perak Datuk Kamaluddin Ismail berkata operasi pada 8 pagi itu dijalankan hasil risikan selama seminggu berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan diesel di stesen minyak sekitar Kuala Kangsar dan Sungai Siput.

“Semasa pemeriksaan dijalankan, pasukan telah menahan seorang individu yang sedang mengisi minyak diesel ke dalam tong dram di atas sebuah kenderaan pacuan empat roda (4x4) di stesen minyak berkenaan.

“Ketika ditahan, terdapat empat unit tong dram di bahagian belakang kenderaan tersebut. Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 200 liter minyak diesel diisi ke dalam dua tong dram yang berada di atas kenderaan tersebut, manakala baki dua tong dram lagi masih kosong,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, lelaki berusia 46 tahun itu yang mengaku membeli minyak diesel tersebut gagal mengemukakan sebarang surat kebenaran, lesen atau permit menyimpan barang kawalan daripada Pengawal Bekalan Malaysia bagi urusan berkaitan.

Sehubungan itu, tindakan kes telah diambil dengan menyita dua tong dram berisi 200 liter minyak diesel, dokumen berkaitan serta sebuah kenderaan pacuan empat roda (4x4), dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM31,304.00.

Kes akan disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki melakukan kesalahan dibawah Sek 21 Akta kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki atau ada dalam kawalan barang kawalan dalam keadaan yang menimbulkan syak akan melakukan kesalahan.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan