WILAYAH - SARAWAK > BERITA

James Chai Sambung Beri Keterangan Di Ibu Pejabat SPRM Untuk Hari Ketiga

30/04/2026 10:55 AM

PUTRAJAYA, 30 April (Bernama) -- Bekas pembantu Datuk Seri Rafizi Ramli, Chai Jin Shern atau lebih dikenali sebagai James Chai hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini bagi menyambung memberi keterangan untuk hari ketiga.

Penganalisis politik itu tiba pada 9.50 pagi, bagi membantu siasatan kes membabitkan firma semikonduktor terkemuka dunia dari United Kingdom, Arm Holdings Plc.

Semalam, James Chai yang juga saksi dalam siasatan kes itu hadir ke Ibu Pejabat SPRM bagi proses rakaman keterangan yang mengambil masa lebih lapan jam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berkaitan sebuah projek semikonduktor yang dibiayai kerajaan bernilai RM1.1 bilion.

SPRM membuka kertas siasatan pada 16 Feb lepas susulan aduan daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa perjanjian projek tersebut dibuat secara tergesa-gesa dan bersifat berat sebelah sehingga dijangka memberi kesan kewangan kepada kerajaan.

Pada 1 April, SPRM memberi tempoh dua minggu kepada James Chai yang berada di London untuk tampil membantu siasatan kes melibatkan firma semikonduktor itu dengan SPRM bersedia menanggung kos penerbangan untuk pulang ke Malaysia.

Selain itu, siasatan tersebut turut menjurus kepada unsur konflik kepentingan apabila beberapa individu dikatakan telah diberikan jawatan tinggi dalam syarikat asing berkenaan selepas berhenti daripada sebuah kementerian.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan