KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Cadangan had tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada 10 tahun adalah antara empat agenda utama yang menjadi teras tumpuan kerajaan dalam memperkukuh akauntabiliti institusi negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata turut diberikan tumpuan ialah pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya (AG-PP), penggubalan Akta Kebebasan Maklumat serta Akta Ombudsman Malaysia.
Keempat-empat agenda berkenaan merupakan tunjang utama dalam usaha memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap institusi negara, di samping memastikan sistem pentadbiran awam kekal telus, adil dan berintegriti.
Azalina berkata beliau membentangkan strategi pelaksanaan jangka pendek dan sederhana bagi empat agenda itu dalam sesi townhall status terkini agenda reformasi undang-undang dan institusi Kerajaan MADANI, yang dimulakan bersama Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP.
Beliau berkata sesi itu akan disusuli dengan pertemuan bersama parti-parti politik lain serta pihak berkepentingan, termasuk pertubuhan masyarakat sivil, wakil komuniti serta pakar akademik dan perundangan.
“Sesi ini berperanan sebagai platform untuk menyelaras kefahaman seraya memperkukuh komitmen bersama pihak berkepentingan terhadap pelaksanaan agenda reformasi undang-undang dan institusi negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azalina berkata pendekatan itu selari dengan Kerangka Akauntabiliti MADANI 2026 yang berteraskan prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban, keberkesanan penyampaian serta penyertaan semua pihak berkepentingan.
Beliau berkata walaupun berdepan cabaran termasuk keperluan penyelarasan antara kementerian, kekangan sumber serta cabaran membina konsensus, kerajaan kekal komited memastikan setiap langkah reformasi dilaksanakan secara pragmatik, tersusun dan memberikan impak langsung.
“Komitmen Kerajaan MADANI dalam hal ini adalah jelas, iaitu untuk mewariskan legasi sistem perundangan dan institusi negara yang lebih kukuh, berintegriti dan adil, seiring aspirasi Malaysia MADANI untuk membina negara berakauntabiliti tinggi yang berpaksikan kesejahteraan rakyat,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial