WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Sabah Optimis Industri Ekonomi Kreatif Tingkat Taraf Hidup Belia

29/04/2026 08:51 PM

KOTA KINABALU, 29 April (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sabah optimis ekonomi kreatif negeri mampu berkembang sekali gus menjadi antara pemangkin utama dalam usaha meningkatkan taraf hidup golongan belia menerusi penerokaan peluang perniagaan serta sumber pendapatan baharu berasaskan bakat serta kreativiti.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata sektor itu juga berpotensi besar mengubah landskap kehidupan belia sekiranya penglibatan mereka dalam industri berkaitan seperti seni muzik, filem, permakanan dan kraftangan terus diperkasakan.

Justeru, Nizam berkata kementeriannya berperanan untuk melonjakkan lagi bakat anak-anak muda Sabah bagi membolehkan mereka menjana pendapatan sendiri tanpa terlalu bergantung kepada peluang pekerjaan dalam sektor kerajaan atau swasta, malah mampu menyumbang kepada peningkatan pendapatan negeri.

“Adalah menjadi hasrat tinggi kerajaan untuk meningkat taraf hidup anak-anak muda Sabah melalui penglibatan dalam industri atau perniagaan berasaskan kreativiti.

“Saya yakin dan percaya jika industri ini dapat dikembangkan, ia dapat mengubah landskap kehidupan belia Sabah serta meningkatkan pendapatan negeri,” katanya ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Nizam berkata kementeriannya turut melaksanakan beberapa program memperkasakan potensi belia Sabah dalam ekonomi kreatif termasuk latihan kemahiran, keusahawanan, pemberian geran, selain penganjuran temasya sukan negeri seperti Sukan Sabah (SAGA) untuk mencungkil bakat sukan golongan berkenaan.

Beliau turut menjadikan atlet seni bela diri Sabah kelahiran Papar iaitu Emmabell Cassandra, yang menang dalam pertandingan Byon Combat 7 kategori Bantanweight di Kuala Lumpur pada 25 April lepas, sebagai antara contoh kejayaan dalam usaha menggilap bakat menerusi pelbagai latihan termasuk temasya sukan SAGA.

“Baru-baru ini, ada seorang anak Sabah dari Papar yang mendapat liputan meluas atas kejayaannya dalam pertandingan Seni Bela Diri Campuran (MMA) atau Muay Thai. Emmabell Cassandra ini adalah contoh anak Sabah yang (bakatnya) dilonjakkan menerusi pelbagai latihan termasuk Sukan Sabah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat negeri Datuk Julita Majungki ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya pula berkata Sabah masih berdepan kekurangan tenaga perubatan berbanding keperluan semasa.

Setakat ini, beliau berkata jumlah doktor kerajaan di Sabah adalah sebanyak 3,431 orang manakala doktor swasta berjumlah 1,397 orang, dengan nisbah seorang doktor kepada 775 penduduk.

“Berdasarkan pengiraan, jumlah doktor yang diperlukan ialah  9,354 orang. Ini menunjukkan terdapat kekurangan sebanyak 4,526 orang doktor berbanding jumlah semasa,” katanya.

Julita turut memaklumkan kerajaan negeri melalui Jabatan Kesihatan Negeri Sabah telah merangka hala tuju strategik bagi menaik taraf Hospital Duchess of Kent, Sandakan daripada status Hospital Berpakar Major kepada Hospital Negeri dengan lebih 49 perkhidmatan kepakaran.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin berkata kementeriannya yakin pelaksanaan kempen Tahun Melawat Sabah 2027 akan mampu merangsang aktiviti ekonomi, meningkatkan peluang pekerjaan serta memperkukuh ekosistem pelancongan negeri.

Dalam ucapan penggulungan bagi kementeriannya, Jafry berkata satu pelan tindakan komprehensif dan bersepadu sedang dirangka bersama Lembaga Pelancongan Sabah antara lain memberi fokus kepada usaha memperkukuh pembangunan pakej pelancongan lebih komprehensif, bersepadu dan mampan.

Beliau berkata pelan itu turut merangkumi penjenamaan Sabah sebagai destinasi pelancongan premium berasaskan alam semula jadi dan budaya; memperkukuh infrastruktur pelancongan dan aksesibiliti; menambah baik kemudahan serta menaik taraf produk pelancongan sedia ada.

“Selain itu, meningkatkan kualiti produk pelancongan termasuk eko-pelancongan dan pelancongan berasaskan komuniti bagi memastikan pengalaman pelancong berkualiti tinggi; memperhebat pendigitalan promosi dan pemasaran melalui penggunaan platform digital, media sosial serta bahan promosi kreatif.

“Penganjuran acara berimpak tinggi sepanjang tahun juga akan diperkasa melalui kerjasama strategik dengan agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan bagi mewujudkan kalendar acara pelancongan negeri yang tersusun dan berdaya tarikan tinggi,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan