WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AKPS Rampas 9,000 Kg Makanan Haiwan Tiada Permit

28/04/2026 06:28 PM

BUKIT KAYU HITAM, 28 April (Bernama) -- Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bukit Kayu Hitam merampas 9,000 kilogram makanan haiwan tidak mempunyai permit sah dalam operasi pemeriksaan di Kompleks Imigresen Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini.

Komander AKPS Bukit Kayu Hitam SAC Fauzi Mohd Yusof dalam kenyataan hari ini berkata rampasan dibuat semasa pelaksanaan operasi dari 22 April hingga hari ini.

“Rampasan makanan haiwan dibuat selepas pemeriksaan dijalankan ke atas satu konsainan yang diisytiharkan sebagai makanan haiwan milik sebuah syarikat.

“Pemeriksaan mendapati barangan itu ialah makanan haiwan jenis Monas Ocean Fish Flavour yang gagal dikemukakan permit sah seperti ditetapkan, iaitu kesalahan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728),” katanya.

Susulan itu, Fauzi berkata 450 beg makanan haiwan itu yang dianggarkan bernilai RM30,358 dirampas.

Sementara itu, Fauzi berkata operasi itu juga merampas pelbagai jenis makanan seperti mi segera, kulit salmon, perut lembu, lutut ayam, bebola daging, sosej babi, akar daun sup, keratan bunga dan Thai basil kerana tidak mematuhi keperluan pelabelan di bawah Akta Makanan 1983. 

Beliau berkata AKPS akan terus memperketat kawalan dan pemeriksaan di pintu masuk negara bagi memastikan semua kemasukan barangan mematuhi peraturan dan orang ramai diingatkan sentiasa mematuhi peraturan serta mendapatkan permit sah sebelum membawa masuk barangan ke negara ini.

“AKPS tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba membawa masuk barangan tanpa permit sah. Tindakan tegas akan diambil bagi memastikan keselamatan biosekuriti negara sentiasa terpelihara,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan