KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) mencatatkan jumlah aset industri sebanyak US$94 bilion (AS$1=RM3.95) pada 2025, meningkat 13 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Pencapaian ini mencerminkan daya tahan dan momentum pertumbuhan yang berterusan merentasi sektor-sektor utama.
Ketua Pengarah Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) Affendi Rashdi berkata Labuan IBFC juga mencatatkan peningkatan permodalan sebanyak 32.3 peratus kepada US$22.5 bilion, disokong oleh asas pasaran yang lebih kukuh.
Laporan berkenaan dikeluarkan sempena ulang tahun ke-35 Labuan IBFC yang menyaksikan pusat perniagaan itu mencatatkan kemajuan dalam pengembangan pasaran, inovasi perniagaan dan kedudukan kawal selia selaras dengan piawaian global.
Beliau berkata momentum positif itu digambarkan dalam keputusan menggalakkan Malaysia dalam Penilaian Bersama Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF) apabila pasaran Labuan IBFC dinilai secara positif serta penampilan pertama pusat kewangan tersebut dalam Indeks Pusat Kewangan Global (GFCI).
“Penubuhan dan pendaftaran syarikat baharu meningkat sebanyak 5.1 peratus manakala 41 lesen baharu dikeluarkan, menjadikan jumlah entiti berlesen sebanyak 808 dan syarikat beroperasi sebanyak 4,971,” katanya semasa pelancaran Laporan Pasaran Labuan IBFC di Lanai Kijang di sini hari ini.
Affendi berkata prestasi tersebut disokong oleh aktiviti perniagaan yang mampan, penyertaan pasaran baharu serta pertumbuhan berdaya tahan merentasi sektor perbankan, insurans, pasaran modal, insurans kaptif, kewangan Islam dan pengurusan kekayaan.
“Bidang khusus ini memperkukuh peranan Labuan IBFC sebagai pasaran butik kewangan yang menawarkan perkhidmatan kewangan pengkhususan dan berorientasikan masa depan dengan struktur perniagaan konvensional serta patuh syariah untuk para pelabur,” katanya.
Beliau berkata sektor perbankan Labuan mencatatkan pemulihan keuntungan yang kukuh, meningkat 55.3 peratus kepada US$665.7 juta selepas mengalami penurunan pada 2024.
“Pemberian pinjaman oleh bank-bank Labuan kepada sektor perkhidmatan kewangan meningkat sebanyak 36.9 peratus, mencerminkan sokongan berterusan pihak bank terhadap aktiviti pengantaraan kewangan di Asia.
Perbankan Islam juga mencatatkan pertumbuhan yang kukuh dengan aset berkembang 35.2 peratus kepada US$2.2 bilion manakala pembiayaan Islam meningkat 23.4 peratus kepada US$1.65 bilion yang sebahagian besarnya terdiri daripada pinjaman bukan pemastautin.
Affendi berkata deposit Islam berkembang 17.7 peratus kepada US$231.8 juta, disokong oleh deposit bukan pemastautin yang lebih tinggi sepanjang tahun berkenaan, katanya.
Sektor insurans Labuan juga mencatatkan prestasi yang lebih kukuh dengan premium kasar meningkat 5.8 peratus kepada US$2.5 bilion manakala keuntungan meningkat 7.1 peratus kepada US$434.7 juta iaitu tahap tertinggi dalam tempoh lima tahun yang lepas.
“Pengekalan bersih sektor tersebut meningkat kepada 62.7 peratus, mencerminkan kapasiti risiko Labuan IBFC yang semakin berkembang dan peranan insurans semula yang lebih kukuh.
“Premium insurans kaptif berkembang 7.2 peratus kepada US$726 juta, menyumbang lebih daripada satu pertiga kepada jumlah keseluruhan premium yang ditaja jamin oleh industri tersebut,” katanya.
Mengenai segmen pasaran modal, Labuan FSA menyatakan bahawa inovasi terus maju, dipacu oleh penstrukturan digital di samping tawaran konvensional.
Affendi juga berkata Sukuk Iklim berjumlah 200 juta renminbi yang pertama di dunia memperkukuh inovasi pusat perniagaan itu dalam kewangan patuh syariah, kemampanan dan penyelesaian tokenisasi digital.
“Aset di bawah pengurusan pengurus dana Labuan meningkat 9.4 peratus kepada US$1.2 bilion manakala keuntungan dalam segmen pengurusan dana melonjak 143 peratus kepada US$10.5 million, disokong oleh yuran pengurusan yang lebih tinggi dan kecekapan kos yang bertambah baik," katanya.
Dalam pada itu, Labuan FSA menyatakan bahawa Labuan IBFC melengkapkan ekosistem kekayaan pelbagai lapisan Malaysia melalui struktur konvensional, digital dan patuh syariah untuk pemeliharaan kekayaan, pelaburan dan perancangan legasi.
Sementara itu, sektor sewaan dan perdagangan komoditi antarabangsa kekal berdaya tahan di tengah-tengah ketidaktentuan perdagangan global dan turun naik harga komoditi.
“Sektor pajakan mencatatkan US$1.8 bilion aset baharu yang dipajak pada 2025, sebahagian besarnya daripada sektor penerbangan yang menyumbang 64.2 peratus daripada jumlah keseluruhan," menurut Labuan FSA.
Menurut pusat kewangan itu, perolehan pajakan Labuan menyederhana kepada US$1.2 bilion manakala keuntungan berkurangan kepada US$597 juta di tengah-tengah persekitaran operasi yang lebih perlahan.
“Bagaimanapun, perbelanjaan pajakan yang lebih rendah menunjukkan pengurusan kos dan kecekapan operasi yang bertambah baik,” jelasnya.
Affendi pula berkata bagi syarikat perdagangan komoditi antarabangsa Labuan, jumlah eksport minyak mentah dan gas asli cecair yang lebih tinggi telah diimbangi oleh harga global yang lebih lemah mengakibatkan nilai eksport yang lebih rendah dan margin keuntungan yang lebih kecil pada paras US$0.6 bilion.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial