Daripada Amirul Mohd Sajadi
MAKKAH, 28 April (Bernama) -- Malaysia terus mencatat pencapaian membanggakan apabila menjadi antara negara terawal di dunia yang berjaya mengagihkan Kad Nusuk sepenuhnya kepada jemaah haji di tanah air sebelum berlepas ke Tanah Suci bagi musim haji 1447H/2026M.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH) Mustakim Mohamad berkata kejayaan itu adalah kesinambungan daripada projek rintis musim lepas, yang menyaksikan Malaysia melakar sejarah sebagai negara pertama terpilih untuk melaksanakan pengedaran Kad Nusuk sebelum keberangkatan jemaah.
“Alhamdulillah, Malaysia sekali lagi berada di hadapan dalam inisiatif ini, sekali gus membuktikan kepercayaan tinggi pihak Arab Saudi terhadap keupayaan pengurusan haji negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Beliau berkata pelaksanaan tersebut adalah hasil kerjasama tiga pihak melibatkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, TH dan syarikat pengendali jemaah haji Malaysia di Tanah Suci, Holiday Inn Bakkah.
Mustakim berkata inisiatif itu bukan sahaja memudahkan urusan jemaah, malah membantu memastikan perjalanan ibadah lebih lancar dengan mengurangkan kesesakan ketika ketibaan di Arab Saudi, di samping membolehkan persiapan dilakukan lebih teratur.
Kad Nusuk yang berfungsi sebagai pengenalan diri serta permit rasmi, kini menjadi syarat wajib untuk memasuki kawasan suci termasuk Masjidil Haram, selain digunakan di pelbagai kawasan pemeriksaan yang dikawal rapi oleh pihak berkuasa.
Sehubungan itu, Mustakim mengingatkan semua jemaah agar sentiasa menjaga Kad Nusuk dan dokumen pengenalan diri masing-masing memandangkan kawalan keselamatan akan dipertingkatkan oleh pihak berkuasa Arab Saudi terutama di laluan masuk ke kawasan ibadah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial