WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ASEAN, EU Gesa Pihak Berkonflik Kembali Ke Meja Rundingan - Mohamad

28/04/2026 05:40 PM

Daripada Fadzli Ramli

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 April (Bernama) -- Mesyuarat Peringkat Menteri ASEAN-Kesatuan Eropah (AEMM) ke-25 menggesa pihak-pihak yang berkonflik di seluruh dunia agar segera kembali ke meja rundingan diplomatik bagi menamatkan peperangan dan memulihkan laluan perdagangan bebas.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata gesaan menerusi Kenyataan Bersama ASEAN dan EU itu dicapai berikutan pendirian senada wakil dua rantau itu yang bersepakat bahawa konflik global masa kini menjejaskan rantaian bekalan antarabangsa.

Beliau berkata perbincangan mesyuarat itu  juga banyak didominasi isu geopolitik dunia memandangkan ketegangan yang berterusan telah memberi kesan negatif dan langsung, serta tidak mendatangkan sebarang kebaikan kepada ekonomi negara-negara di kedua-dua rantau itu.

"Kita menyatakan secara sebulat suara dan dalam Kenyataan Bersama ASEAN-EU, jelas menuntut supaya semua pihak berbalik semula ke meja rundingan agar perang ini dapat ditamatkan, laluan perdagangan yang bebas dan juga rantaian bekalan berfungsi semula," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama dan RTM di luar AEMM Ke-25 di sini hari ini. Mesyuarat dwitahunan yang berlangsung selama dua hari itu berakhir hari ini.

Dalam mendepani cabaran ekonomi global, Mohamad berkata Malaysia juga lantang memperjuangkan ketelusan perdagangan dengan menolak sekeras-kerasnya taktik menjadikan perdagangan sebagai senjata bagi menekan negara tertentu.

Beliau berkata Malaysia membantah tindakan sesetengah pihak yang menyalahgunakan perdagangan antarabangsa, seperti pengenaan sekatan dan kekangan, sebagai senjata ugutan untuk menekan negara-negara kecil yang ekonomi mereka bergantung kepada perdagangan luar.

"Kita tak mahu perdagangan dijadikan senjata untuk menekan negara-negara. Biarlah perdagangan ini diuruskan secara biasa seperti dulu, memandangkan kita mempunyai platform seperti Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO)," katanya.

Bagi merealisasikan persekitaran perdagangan yang adil itu, Menteri Luar berkata negara anggota kedua-dua rantau bersetuju bahawa sistem multilateral mesti diperkukuhkan untuk menolak trend unilateralisme yang semakin condong diamalkan masa kini, sekali gus memastikan sebarang pertikaian dapat diselesaikan secara aman.

Menyentuh mengenai masa depan kerjasama, Mohamad memaklumkan perbincangan turut menumpukan kepada usaha mengangkat status Perkongsian Strategik ASEAN-EU ketika ini ke tahap Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP).

“Usaha berkenaan adalah selari dengan sambutan ulang tahun ke-50 hubungan dialog antara ASEAN dan EU yang bakal diraikan pada tahun hadapan,” katanya.

Bagi memperingati peristiwa bersejarah itu, beliau berkata satu sidang kemuncak untuk menyambutnya  akan dianjurkan bersempena dengan pencapaian lima dekad hubungan berkenaan.

"Tahun depan Singapura akan menjadi Pengerusi ASEAN dan ia (sidang kemuncak) akan diadakan di Singapura," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan