WILAYAH - TENGAH > BERITA

MATRADE Sasar MIHAS 2026 Jana Jualan Menyeluruh RM4.5 Bilion

28/04/2026 02:49 PM

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menyasarkan jualan keseluruhan sebanyak RM4.5 bilion pada acara Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) edisi tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Abu Bakar Yusof berkata pihaknya turut menjangkakan MIHAS 2026 yang bakal berlangsung pada September depan, dapat menarik penyertaan sekurang-kurangnya 2,300 pempamer dari lebih 50 buah negara.

"Pada tahun lepas, sasaran (jualan) kita adalah RM4.3 bilion, tapi tahun ini dengan mengambil kira semua situasi geopolitik dan krisis global, kita menyasarkan MIHAS 2026 ini secara keseluruhannya boleh menjana (jualan) sebanyak RM4.5 bilion," katanya kepada pemberita selepas majlis prapelancaran MIHAS 2026, di sini hari ini.

Abu Bakar berkata MIHAS 2026 turut memperkenalkan komponen baharu iaitu Women in Export (WiEX) atau Wanita Dalam Eksport yang menggabungkan elemen keusahawanan untuk pengusaha golongan wanita dan juga pengeksport-pengeksport milikan wanita dalam usaha meneroka pasaran antarabangsa.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata walaupun perniagaan milik wanita di Malaysia hanya kira-kira 20 peratus daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) negara ini, golongan itu masih kurang diwakili di pasaran global.

“WiEX mengubah bakat yang belum dimanfaatkan menjadi kapasiti eksport dengan membawa syarikat-syarikat berpotensi tinggi ini ke pasaran global, sekali gus memperkukuh daya tahan Malaysia melalui peluasan asas pengeksport dan mengurangkan kebergantungan kepada kumpulan syarikat yang terhad.

“Ini memaparkan model pertumbuhan inklusif Malaysia apabila lebih banyak perniagaan yang mempunyai keupayaan, terutama diterajui wanita, dapat diperkasa untuk bersaing di peringkat global, memacu lebih banyak idea eksport, inovasi dan produk bernilai tambah menjadi sebahagian daripada strategi perdagangan generasi seterusnya di Malaysia,” katanya.

Bertemakan “Shaping Trust, Driving Resilience” (Membentuk Kepercayaan, Memacu Daya Tahan), MATRADE memaklumkan MIHAS 2026 turut memaparkan kepentingan kian ketara terhadap ekosistem perdagangan yang diyakini dalam persekitaran geopolitik global mencabar apabila gangguan rantaian bekalan, pasaran yang berpecah serta peningkatan kos perniagaan terus memberi kesan kepada syarikat di seluruh dunia.

Menurut kenyataan MATRADE, MIHAS 2026 pada 23-26 September 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) Kuala Lumpur, turut menggabungkan interaksi fizikal dan digital dengan mekanisme pemudah cara perdagangan dijana kecerdasan buatan (AI) untuk membantu para pembeli, pempamer dan pelabur mengenal pasti peluang serta menukar interaksi kepada hasil komersial yang boleh diukur.

"Acara itu turut memudahkan aspek penglibatan perniagaan bernilai tinggi melalui penyertaan 200 pembeli antarabangsa di bawah Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) dan 50 pembeli premium di bawah Program Pembeli Jemputan selain mempamerkan kekuatan industri tempatan dengan 600 pengeksport Malaysia yang diketengahkan melalui inisiatif MIHAS Showcase,” menurutnya.

Sementara itu ketika berucap, Timbalan Ketua Setiausaha (Pelaburan dan Pengurusan) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Datuk Bahria Mohd Tamil berkata sektor halal bukan lagi setakat berperanan sebagai penyumbang pertumbuhan, malah menjadi pemangkin strategik transformasi ekonomi ketika Malaysia memulakan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“Menerusi tindakan yang seiringan dengan keutamaan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, kita berhasrat menjadikan Malaysia sebagai peneraju halal global, memacu eksport halal sehingga RM80 bilion dan meningkatkan sumbangan sektor ini kepada Keluaran Dalam Negara Kasar sebanyak 11 peratus melalui inovasi dan daya tahan,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan