KOTA KINABALU, 27 April (Bernama) -- Pelan Induk Pengangkutan Mampan Negeri Sabah (SSTMP) sedang dibangunkan sebagai langkah komprehensif jangka panjang untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di bandar-bandar utama negeri ini, persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah diberitahu hari ini.
Timbalan Ketua Menteri III Sabah Datuk Ewon Benedick berkata pelan itu akan menjadi dokumen strategik utama dalam merancang sistem pengangkutan lebih cekap, bersepadu dan mampan di negeri ini.
Ewon yang juga Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata SSTMP dirangka bagi menangani cabaran pembandaran pesat, peningkatan pemilikan kenderaan persendirian serta kesesakan lalu lintas yang semakin meningkat, khususnya di Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau dan Keningau.
“SSTMP turut merangkumi perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang serta memberikan penekanan kepada pengukuhan pengangkutan dan integrasi pelbagai mod pengangkutan termasuk darat, laut dan sungai sebagai satu sistem menyeluruh. Pelan ini dirangka bagi mewujudkan sistem pengangkutan yang cekap, bersepadu, selamat dan mampan,” katanya di sini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin (GRS-Nabawan) yang ingin tahu cadangan jangka panjang kementerian berkenaan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di bandar-bandar utama Sabah.
Ewon berkata kerajaan negeri turut memperkukuh sistem pengangkutan awam di Kota Kinabalu melalui Program Transformasi Bas Berhenti-Henti, iaitu BAS.MY sebagai inisiatif menyediakan perkhidmatan bas awam berjadual dengan laluan tersusun, kekerapan tetap serta pemantauan prestasi secara berterusan.
“Bas ini dilengkapi dengan kemudahan moden seperti sistem pembayaran tanpa tunai, GPS, CCTV (kamera litar tertutup) serta mesra pengguna termasuk warga emas dan Orang Kurang Upaya.
“Ia meliputi lapan laluan utama bertujuan meningkatkan penggunaan pengangkutan awam seterusnya mengurangkan kebergantungan pada kenderaan persendirian serta membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan bandar,” katanya.
Ewon berkata Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Pengangkutan juga sedang melaksanakan kajian kebolehlaksanaan Projek Trans Borneo Railway sebagai inisiatif strategik jangka panjang yang berpotensi membangunkan rangkaian rel baharu menghubungkan bandar utama serta kawasan pedalaman, sekali gus meningkatkan kecekapan pergerakan penumpang dan barangan.
“Pendekatan kerajaan ialah berasaskan konsep pengangkutan bersepadu yang menggabungkan pelbagai mod pengangkutan bagi memastikan penyelesaian menyeluruh dan mampan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial