PUTRAJAYA, 27 April (Bernama) -- Peranan perpustakaan desa diperkasa sebagai pusat pengupayaan komuniti yang holistik, berfungsi sebagai pemangkin pembangunan sosioekonomi setempat menerusi pelaksanaan program 1 Perpustakaan Desa 1 Produk (1PD1Produk).
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata setiap perpustakaan desa diketengahkan untuk menonjolkan sekurang-kurangnya satu produk, perkhidmatan atau identiti komuniti yang unik serta berpotensi komersial.
Beliau berkata inisiatif itu menjadikan perpustakaan desa sebagai pemudah cara kepada pembangunan ekonomi luar bandar di samping mengekalkan fungsi utamanya sebagai pusat ilmu dan pembelajaran.
“Perpustakaan desa perlu diperkasakan sebagai pusat komuniti yang bukan sahaja menyatukan masyarakat, malah menjadi platform pembangunan ekonomi setempat yang mampan.
"Setakat ini, 488 produk telah dikenal pasti di seluruh negara dan disusun mengikut negeri bagi tujuan pemantauan dan promosi berterusan merangkumi makanan tradisional sebanyak 296, perkhidmatan (128), kraf tangan (56) dan hasil pertanian (8) serta berasaskan pengalaman tempatan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagi taburan negeri pula, beliau berkata Negeri Sembilan mencatatkan rekod tertinggi dengan 60 produk, diikuti Kedah (59), Sabah (48) dan Perak (44), sekali gus mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh peranan perpustakaan desa sebagai pusat pembangunan komuniti.
Aaron berkata setiap produk dikenal pasti berdasarkan kekuatan dan identiti setempat, dengan maklumat direkodkan secara sistematik meliputi nama produk, kategori, lokasi serta pengusaha bagi memudahkan usaha promosi melalui program komuniti, pameran, media sosial dan jaringan kerjasama strategik.
"Secara keseluruhan, program 1PD1Produk telah memberi impak positif melalui peningkatan keterlihatan produk tempatan, sokongan kepada usahawan kecil serta pengukuhan hubungan antara perpustakaan desa dan komuniti,” katanya
Beliau berkata inisiatif ini turut memperkukuh identiti lokaliti serta mencipta nilai tambah kepada pembangunan setempat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial