WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BWF Lulus Sistem Kiraan Mata Baharu 3x15, Mulai 2027

26/04/2026 01:31 AM

Daripada Amiril Muttaqien Meketar

HORSENS (Denmark), 25 April (Bernama) -- Ahli-ahli Persekutuan Badminton Dunia (BWF) meluluskan penggunaan sistem kiraan mata baharu 15 mata (tiga set) selepas memperoleh majoriti dua pertiga undi yang diperlukan pada Mesyuarat Agung Tahunan BWF ke-87 yang berlangsung di sini hari ini.

Sistem kiraan 3x15 itu akan menggantikan format sedia ada 3x21 dan dijadualkan berkuat kuasa mulai 4 Januari 2027.

Presiden BWF Khunying Patama Leeswadtrakul berkata keputusan tersebut merupakan satu pencapaian penting dalam usaha memajukan sukan badminton ke tahap lebih tinggi.

“Sistem kiraan mata 3x15 ini bertujuan menjadikan perlawanan badminton lebih menarik dan kompetitif, selain memperbaiki jadual kejohanan, memastikan tempoh perlawanan lebih konsisten serta memberi manfaat kepada kebajikan dan pemulihan pemain.

“Dengan wujudnya detik bertekanan tinggi lebih awal, kedudukan mata yang lebih rapat serta penamat lebih dramatik, format ini diharap dapat memastikan peminat terus teruja dari awal hingga tamat perlawanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas kebimbangan beberapa pihak berkepentingan, beliau menegaskan perubahan itu tidak akan menjejaskan asas sukan badminton.

“Kami sedar perubahan boleh menimbulkan kebimbangan, terutama dalam sukan yang mempunyai tradisi kukuh. Namun keputusan ini tidak mengubah sifat asas badminton. Kemahiran, taktikal, tuntutan fizikal dan mental serta dramatik sukan ini akan kekal.

“Apa yang berubah adalah usaha untuk memperkukuh sukan ini dengan mengekalkan keistimewaan badminton dan memastikan pemain terbaik dunia terus dapat bersaing, memberi inspirasi serta berhubung dengan peminat di seluruh dunia untuk tempoh lebih lama,” katanya.

BWF dalam kenyataan sama memaklumkan pihaknya akan terus mendengar pandangan ahli, pihak berkepentingan serta pemain ketika sukan itu melalui proses penyesuaian terhadap perubahan tersebut.

Dalam perkembangan lain, bekas Presiden BWF dan naib presiden kehormat seumur hidup, Poul-Erik Hoyer disenaraikan dalam Dewan Kemasyhuran BWF bagi kategori pentadbir, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan besarnya dalam tadbir urus serta pembangunan badminton di peringkat global.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan