KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengucapkan takziah kepada keluarga bekas Ketua Bahagian Editorial New Straits Times (NST) Sabah dan Sarawak, Joseph Bingkasan yang meninggal dunia awal pagi tadi.
Fahmi berkata beliau turut bersedih menerima perkhabaran duka pemergian mendiang yang merupakan seorang pengamal media yang banyak menyumbang kepada dunia kewartawanan tanah air, khususnya dalam memperkukuh bidang editorial di Sabah dan Sarawak.
“Takziah kepada seluruh keluarga mendiang. Semoga mereka diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi kehilangan ini,” katanya menerusi catatan di Facebook.
Fahmi turut memaklumkan mendiang merupakan antara penerima sumbangan Tabung Kasih@HAWANA pada 2023.
Joseph, 71, meninggal dunia dipercayai akibat kanser di Hospital Queen Elizabeth II, Kota Kinabalu, Sabah pada 3.56 pagi tadi.
Beliau berpengalaman luas dalam dunia kewartawanan bermula sebagai penyunting di akhbar Kinabalu Sabah Times pada 1977 sebelum menyertai New Straits Times Press (NSTP) sebagai koresponden di Sabah.
Selain itu, beliau pernah bertugas di Times of Malaysia London Ltd, iaitu Pejabat NST di London sebelum dilantik sebagai Ketua Bahagian Editorial NST Sabah dan Sarawak selain pernah berkhidmat untuk akhbar tempatan Sabah, Daily Express.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial