KOTA BHARU, 20 April (Bernama) -- Polis mengesahkan seorang lelaki cedera pada bahagian dagu selepas terkena tembakan dalam kejadian di Ladang Kemahang, Tanah Merah awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah Superintenden Mohd Haki Hasbullah berkata dalam kejadian kira-kira 2.30 pagi itu, mangsa Mohd Khairul Amri Ab Kadir, 43, cedera selepas terkena tembakan ketika melakukan rondaan bersama rakannya bagi mengesan kegiatan mencuri lembu.
Beliau berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 5.26 pagi.
“Sebelum kejadian, pengadu yang juga jurujual berusia 35 tahun bersama rakannya menjalankan rondaan di kawasan ladang berkenaan sejak 1.30 pagi.
“Sekitar 2.30 pagi, mereka terserempak dengan sekumpulan lebih kurang lima lelaki dipercayai warga tempatan dan warga Thailand. Suspek kemudiannya dipercayai bertindak melepaskan beberapa das tembakan dari jarak dekat ke arah pengadu dan rakannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Haki berkata mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Tanah Merah dan kini sedang menerima rawatan di Zon Merah, Wad Kecemasan.
Dalam kejadian sama, sebuah motosikal Honda EX5 milik mangsa dilaporkan turut dilarikan oleh seorang daripada suspek dipercayai warga tempatan.
“Pihak polis kini sedang giat menjalankan usaha untuk mengesan dan menangkap kesemua individu yang terlibat dan kami menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.
Sementara itu, Mohd Khairul Amri Ab Kadir, 42, yang mengalami kecederaan di bahagian dagu, kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Tanah Merah.
Mohd Amirul Akil, 38, berkata ketika kejadian, abangnya keluar meronda bagi memeriksa lembu peliharaan di kawasan Lalang Pepuyu bersama dengan beberapa penduduk.
Dia berkata seorang penduduk kemudian terserempak dengan sekumpulan lelaki yang menaiki lima motosikal roda tiga.
“Tidak lama kemudian, beberapa das tembakan dilepaskan oleh kumpulan berkenaan, dan satu daripadanya terkena pada dagu abang saya… penduduk yang berada di lokasi segera membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” kata Mohd Amirul di rumahnya di Kemahang 1 di sini hari ini.
Dia berkata kejadian kecurian lembu pernah dilaporkan berlaku di kawasan itu sebelum ini kerana kebanyakan ternakan dipelihara secara lepas bebas oleh penduduk.
Mohd Amirul juga berkata kumpulan pencuri dipercayai menggunakan ubat pelali sebelum mengangkut lembu berkenaan menggunakan kenderaan yang kemudian dikumpulkan dalam sebuah kandang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial