KUANTAN, 4 April (Bernama) -- Seorang pelajar tingkatan dua dan nelayan yang dilaporkan hilang dalam dua kejadian berasingan di Jerantut dan Kuantan ditemukan lemas hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Mohd Salahuddin Isa berkata Muhammad Danial Haikal Shamsudin, 14, ditemukan pada 4.20 petang kira-kira dua kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang semasa mandi sungai di Kampung Durian Hijau, Jerantut.
Beliau berkata Mohd Ishak Ismail, 63, yang dilaporkan hilang selepas keluar dari Jeti Tanjung Api kira-kira 10 pagi Rabu lepas ditemukan di Pantai Lagenda, Tanjung Gosong, Pekan pada 6.30 petang.
Mayat mangsa ditemukan kira-kira 32 kilometer dari Pusat Kawalan Operasi (PKO) di Pantai Sepat, Kuantan iaitu lokasi penemuan bot miliknya.
“Mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Salahuddin berkata operasi di Kampung Durian Hijau bagi mencari seorang lagi mangsa Muhammad Amirul Ashraf Abdullah, 14, akan bersambung pada 8 pagi esok.
Muhammad Danial Haikal dan Muhammad Amirul Ashraf dilaporkan hilang ketika mandi sungai di kampung itu petang semalam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial