SEREMBAN, 4 April (Bernama) -- Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) ditemukan rentung selepas terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah teres di Taman Mantin Baharu di sini semalam.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Sembilan memaklumkan pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian membabitkan mangsa berusia 32 tahun itu pada 11.33 malam.
“Kebakaran melibatkan rumah teres berkeluasan 20x65 kaki persegi yang musnah sepenuhnya. Mangsa ditemukan rentung dalam bilik utama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata operasi pemadaman yang membabitkan 14 pegawai dan anggota ditamatkan pada 11.50 malam selepas kebakaran berjaya dikawal.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai J Arul Kumar berkata ketika kejadian mangsa yang menghidap strok dan lumpuh separuh badan itu dipercayai sedang tidur manakala adik lelakinya tidak berada di rumah.
“Mangsa hanya tinggal berdua bersama adiknya di rumah tersebut dan ketika kejadian adiknya keluar untuk membeli makanan sebelum dimaklumkan rumahnya terbakar.
"Menurut jiran, dia terdengar suara wanita meminta tolong tetapi orang ramai tidak dapat masuk untuk menyelamatkannya kerana api sedang marak dan pintu rumah pula tertutup,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai Supt Johari Yahya berkata siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kejadian kebakaran tersebut.
Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Rembau untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Johari turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai di talian 06-7904222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial