KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Pusat Perubatan Sunway (SMC), Bandar Sunway mengekalkan kedudukannya sebagai hospital nombor satu di Malaysia dalam senarai Hospital Terbaik Dunia 2026 oleh Newsweek.
Dalam ranking global terbaharu itu, SMC meningkat ke tangga ke-138 dunia, berbanding tempat ke-193 pada 2025 dan ke-233 pada 2024, sekali gus kekal mendahului sebagai hospital dengan ranking tertinggi di negara ini.
Presiden Sunway Healthcare Group Datuk Lau Beng Long berkata pengiktirafan itu mengukuhkan lagi kedudukan sebagai hospital kuaternari swasta terbesar di negara ini yang menerajui dalam kecemerlangan klinikal, keselamatan pesakit dan penjagaan berfokuskan pesakit.
“Kami berbangga atas pengiktirafan dalam senarai Hospital Terbaik Dunia 2026 oleh Newsweek ini dan dinobatkan sebagai yang terbaik di Malaysia. Kejayaan ini hasil dedikasi para doktor, jururawat dan seluruh warga kerja kami serta kepercayaan yang diberikan oleh pesakit serta rakan kerjasama di dalam negara mahupun peringkat antarabangsa.
“Kami akan kekal komited untuk memperkukuh tadbir urus klinikal, meningkatkan keselamatan dan pengalaman pesakit, serta terus melabur dalam aspek kecekapan bagi menyokong penjagaan berkualiti tinggi kepada komuniti kami,” katanya dalam satu kenyataan oleh SMC.
Menurut kenyataan itu, lebih 2,500 hospital daripada lebih 200,000 institusi penjagaan kesihatan di seluruh dunia telah dinilai di bawah program itu, merangkumi hospital awam, hospital pengajar, hospital universiti dan institusi perubatan swasta.
Hanya 250 hospital terbaik dunia tersenarai untuk diterbitkan, antaranya Mayo Clinic - Rochester, University Health Network - Toronto General Hospital, Cleveland Clinic, Johns Hopkins Hospital dan Singapore General Hospital.
Penilaian berdasarkan kepada metodologi pelbagai sumber yang rapi, termasuk cadangan oleh rakan industri hasil tinjauan global yang melibatkan lebih 100,000 pakar perubatan, data pengalaman pesakit, metrik kualiti hospital dan tinjauan Patient-Reported Outcome Measures (PROMs) oleh Statista
Menurut kenyataan itu, sebagai hospital utama di bawah Kumpulan Penjagaan Kesihatan Sunway, SMC mempunyai lebih 300 pakar perunding tetap dan menawarkan penjagaan komprehensif melalui lebih daripada 80 kepakaran dan 28 Pusat Kecemerlangan.
“Dengan siapnya blok keenam, Menara F (Pavilion Kanak-Kanak), SMC akan berkembang melebihi 1,000 katil dan disokong oleh pasukan multidisiplin yang komited terhadap penyampaian penjagaan menyeluruh dan khusus.
“SMC juga merupakan hospital pertama di Malaysia yang mendapat tiga akreditasi utama hospital -Suruhanjaya Bersama Antarabangsa (JCI) iaitu Akreditasi Gold Seal of Approval dari Amerika Syarikat, Majlis Piawaian Penjagaan Kesihatan Australia Antarabangsa (ACHSI) dan Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH), sekali gus membuktikan komitmen hospital terhadap piawaian kualiti dan keselamatan pesakit yang diiktiraf di peringkat antarabangsa,” menurut kenyataan itu.
Diterbitkan setiap tahun oleh Newsweek dengan kerjasama Statista, sebuah firma penyelidikan pasaran dan data pengguna global, ranking Hospital Terbaik Dunia menilai institusi penjagaan kesihatan terkemuka merentasi sistem kesihatan utama, termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Jepun, Singapura, Korea Selatan dan Taiwan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial