KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Pertumbuhan pinjaman Malaysia dijangka berkembang dalam 5.0 hingga 5.5 peratus tahun ini, meningkat berbanding 4.8 peratus pada 2025, disokong oleh kesan asas yang menggalakkan pada akhir 2025 termasuk permintaan domestik yang stabil, kata Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB).
Bank pelaburan itu melalui satu nota penyelidikan hari ini berkata ia menjangkakan momentum pinjaman akan naik secara beransur-ansur menjelang akhir tahun walaupun permulaan yang lemah pada Januari.
“Prestasi semasa adalah sejajar dengan aliran bermusim kerana Januari dan Februari lazimnya merekodkan pertumbuhan dari bulan ke bulan yang lebih lembap.
“Namun begitu, permintaan bermusim seperti Tahun Baru Cina dan Aidilfitri sepatutnya memberikan sokongan jangka pendek,” katanya.
Sementara itu, mengenai kadar dasar semalaman (OPR), Kenanga IB menjangka Bank Negara Malaysia akan mengekalkan kadar tidak berubah pada 2.75 peratus semasa mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari akan datang pada 5 Mac ini.
“Dengan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar yang mantap dan inflasi terurus, disangga oleh permintaan yang stabil dan bekalan yang mencukupi, kami menjangkakan OPR tahun ini akan kekal tidak berubah kecuali wujud kejutan global yang tidak dijangka,” tambah Kenanga IB.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial