WILAYAH - SARAWAK > BERITA

RUU Syarikat Amanah Ganti Akta 100 Dibentang Di Dewan Rakyat Tahun Ini

02/03/2026 11:27 AM

KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Syarikat Amanah berserta dasar dan polisi baharu lebih komprehensif dijangka dibentangkan pada mesyuarat Dewan Rakyat tahun ini bagi menggantikan Akta Syarikat Amanah 1949 (Akta 100) yang bakal dimansuhkan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh berkata RUU itu akan merangkumi empat kluster utama iaitu parameter aktiviti dan rejim pendaftaran mandatori serta rangka kerja pelaporan pemunyaan benefisial berkaitan perniagaan atau aktiviti amanah.

Selain itu, beliau berkata ia juga meliputi pentadbiran dan tadbir urus syarikat amanah serta pemotongan nama, mekanisme penyelamat korporat, penggulungan dan pembubaran syarikat amanah.

“Proses konsultasi awam dengan tujuan memuktamadkan RUU ini dimulakan pada 2 April 2024 melalui edaran dokumen konsultasi. Sesi libat urus turut diadakan bersama pihak industri dan pemegang taruh,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Fuziah menjawab soalan Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) mengenai perkembangan reformasi kawal selia syarikat amanah swasta dan status pindaan Akta 100 bagi mewajibkan pelantikan Pengurus Dana Berlesen.

Beliau berkata sesi libat urus juga melibatkan agensi kawal selia termasuk Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Bank Negara Malaysia serta Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan