SANDAKAN, 1 Mac (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merampas 1,870 paket minyak masak bersubsidi daripada dua bot di perairan Kampung Bokara Lama di sini awal pagi semalam, dipercayai cuba diseludup keluar tanpa permit sah.
Pengarah Zon Maritim Sandakan Kepten Muhamad Suhairy Hussain berkata rampasan dilakukan kira-kira 2 pagi ketika pasukan bot peronda menjalankan rondaan rutin di kawasan berkenaan sebelum mengesan dua bot dalam keadaan mencurigakan.
“Bagaimanapun, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, beberapa individu yang berada di lokasi bertindak melarikan diri ke kawasan berhampiran dan meninggalkan kedua-dua bot berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pemeriksaan lanjut ke atas bot berkenaan menemukan minyak masak bersubsidi berkenaan yang dipercayai cuba diseludup keluar tanpa kebenaran.
Jumlah keseluruhan rampasan termasuk dua bot, enjin serta minyak masak itu dianggarkan bernilai lebih RM50,000.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah maritim diminta menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Sandakan menerusi talian 089-229504 bagi tindakan lanjut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial