WILAYAH - TIMUR > BERITA

Miliki Diesel Tanpa Lesen, Pemilik Syarikat Pengangkutan Didenda RM150,000

01/03/2026 02:46 PM

KUALA TERENGGANU, 1 Mac (Bernama) -- Seorang pemilik syarikat pengangkutan didenda RM150,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menyimpan minyak diesel tanpa lesen, tiga tahun lepas.

Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli menjatuhkan hukuman itu ke atas Hasdi Mustapa, 45, dan memerintahkan dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda. Dia membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, Hasdi selaku Orang Kena Saman (OKS) iaitu pemilik syarikat HMH Truck didapati memiliki 29,070.78 liter barang kawalan iaitu diesel yang juga barang berjadual yang disimpan di dalam tangki simpanan semi-trailer yang bersambung dengan kepala lori tangki, di Kampung Cacar, Paka, Dungun pada 9.30 pagi, 6 Julai 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya. 

Dalam pada itu mahkamah turut mengarahkan hasil jualan minyak diesel yang telah disita tersebut berjumlah RM68,888.79 diserahkan kepada kerajaan Malaysia dan lori yang digunakan untuk menyimpan bahan kawalan itu dilucut hak dan juga diserahkan kepada kerajaan. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Siti Edabayu Subhan dan Pegawai Pendakwa KPDN Nur Amirah Mokhtar manakala OKS diwakili peguam Mohamad Zaiful Bahrin Kamde. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan