WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Sultan Selangor Zahir Penghargaan Tindakan Pantas Polis Tahan Pelaku Curi Tabung Masjid

28/02/2026 08:04 PM

SHAH ALAM, 28 Feb (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan syabas kepada pasukan polis Selangor atas tindakan pantas dan berkesan menahan pelaku-pelaku kejadian kecurian tabung Masjid Seksyen 7, Shah Alam baru-baru ini.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin secara khusus menzahirkan penghargaan kepada Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar dan Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Ramsay Embol.

Baginda memandang serius kejadian kecurian tabung masjid itu tanpa mengira siapa pun dalang di sebaliknya, sambil menegaskan wang yang dikumpulkan menerusi tabung masjid adalah amanah umat Islam, hasil sumbangan ikhlas jemaah untuk kebajikan, pengimarahan rumah Allah serta membantu golongan yang memerlukan.

“Amanah ini tidak boleh sama sekali dikhianati atau disalahgunakan,” titah baginda.

Sultan Selangor turut menzahirkan rasa sukacita kerana pelaku-pelaku yang terlibat berjaya ditangkap hasil kerjasama erat antara pihak polis, ahli jawatankuasa masjid dan jemaah setempat yang peka serta bertanggungjawab.   

“Semangat kebersamaan dan keprihatinan masyarakat inilah yang menjadi benteng utama dalam memelihara kesucian institusi masjid,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin mahu agar kesemua individu yang didapati bersalah menerima hukuman yang setimpal berlandaskan undang-undang.

Titah baginda, tindakan tegas adalah penting sebagai peringatan dan pengajaran kepada semua pihak supaya sebarang perbuatan yang mencemarkan kesucian rumah Allah dan mengkhianati amanah umat tidak akan dipandang ringan.

Baginda berharap kejadian itu menjadi iktibar bersama dan terus memperkukuh kesedaran masyarakat untuk menjaga, memelihara serta mempertahankan kemuliaan masjid sebagai institusi agama yang suci dan dihormati.  

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan