WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kanak-kanak Dicampak Dalam Parit Di Saratok, JKM Ambil Tindakan Segera - Nancy

28/02/2026 06:16 PM

KUCHING, 28 Feb (Bernama) -- Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mengambil tindakan segera dengan mengendalikan kes seorang kanak-kanak cedera selepas didakwa dicampak ke dalam parit oleh bapanya dalam kejadian yang dilaporkan di Saratok.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata petugas pelindung kanak-kanak turut menziarahi kanak-kanak perempuan berusia enam tahun itu, yang kini dirawat di hospital.

“Kes ini masih dalam siasatan pihak polis dan setakat ini bapa mangsa telah ditahan bagi membantu siasatan.

“Difahamkan ibu bapa kanak-kanak itu dalam proses perceraian dan dijadualkan hadir ke mahkamah Isnin ini. Mahkamah akan memutuskan berhubung hak penjagaan sementara kanak-kanak berkenaan selepas meneliti secara terperinci situasi keluarga terlibat,” katanya.

Nancy berkata kepada pemberita selepas menghadiri Program Ramadan Prihatin di Masjid Darul Hana, Markas Pangkalan Polis Marin Wilayah 5 di sini hari ini.

Beliau berkata pihak JKM akan terus memantau perkembangan kes dan bersedia mengambil langkah sewajarnya sekiranya diperlukan.

“Sekiranya tiada penjaga yang sesuai, kanak-kanak itu boleh diletakkan di bawah jagaan JKM. Bagaimanapun, kita percaya mungkin ada ahli keluarga lain yang berkelayakan dan boleh membantu menjaga anak berkenaan,” katanya.

Ketua Polis Daerah Saratok DSP Mathew Manggie dilaporkan berkata dalam insiden Rabu lepas, ibu mangsa yang menyaksikan kejadian itu telah membuat laporan polis dan suspek berusia 43 tahun yang dipercayai di bawah pengaruh dadah telah ditahan pada hari berikutnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan