WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pembayaran Dividen Berdasarkan Baki Setiap Akaun - KWSP

28/02/2026 03:45 PM

KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) -- Kadar dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak 6.15 peratus akan turut dikreditkan ke Akaun Fleksibel (Akaun 3) berdasarkan baki akaun tersebut, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Zulqarnain Onn.

Beliau berkata pembayaran dividen adalah berdasarkan baki dalam akaun masing-masing, sama ada Akaun Persaraan (Akaun 1), Akaun Sejahtera (Akaun 2) atau Akaun 3.

“Kita tidak boleh mengambil dividen tersebut dan dimasukkan ke akaun lain,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan kadar dividen KWSP bagi tahun 2025 hari ini.

Ahmad Zulqarnain berkata ini juga berdasarkan Akta KWSP 1991, iaitu dividen mesti diagihkan mengikut akaun simpanan masing-masing.

Mengenai pembayaran dividen sebanyak 6.15 peratus berbanding 6.3 peratus tahun lepas, katanya prestasi pertumbuhan Bursa Malaysia sebanyak dua peratus berbanding 12 peratus pada tahun sebelumnya memberi impak kepada prestasi kewangan dana itu.

“Di samping itu, pengukuhan ringgit turut menyumbang kepada prestasi kewangan KWSP,” katanya.

KWSP hari ini mengumumkan kadar dividen sebanyak 6.15 peratus bagi 2025 (2024: 6.3 peratus) untuk akaun simpanan konvensional dan shariah, dengan jumlah pembayaran RM79.6 bilion.

Bagi tahun berakhir 31 Dis 2025, KWSP mencatatkan jumlah pendapatan boleh agih sebanyak RM82.7 bilion, meningkat 9.5 peratus daripada RM75.5 bilion pada 2024. 

Mengenai cadangan tawaran pengambilalihan Sunway Bhd ke atas IJM Corporation, katanya KWSP, pemegang saham utama IJM, belum membuat keputusan mengenai tawaran itu berikutan dana tersebut menunggu penilaian bebas yang akan dikeluarkan pada 16 Mac.

“Kemudian kami akan meneruskan proses tadbir urus masing-masing dari segi membuat keputusan sama ada untuk menerima tawaran tersebut,” katanya.

Dilaporkan bahawa KWSP memegang 20 peratus kepentingan dalam IJM manakala Permodalan Nasional Bhd (PNB) memiliki bawah 13.5 peratus, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) (9.64 peratus), Urusharta Jamaah Sdn Bhd milik Kementerian Kewangan (2.84 peratus) dan Lembaga Tabung Haji (1.47 peratus).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan