WILAYAH - SARAWAK > BERITA

FMM Seru Insentif Berpusatkan PKS Untuk Tingkat Inovasi, Rantai Bekalan

27/02/2026 07:03 PM

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) telah menyeru ke arah keupayaan inovasi yang lebih kukuh dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) termasuk pembekal Tahap-1 dan Tahap-2 untuk menyokong peningkatan, penyetempatan serta penyertaan dalam rantaian nilai global.

Presiden FMM Jacob Lee Chor Kok melalui satu kenyataan berkata persekutuan itu telah mencadangkan agar Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memperkenalkan insentif yang lebih mudah diakses, mesra PKS selain pembiayaan khusus berasaskan hasil di bawah Belanjawan 2027.

Cadangan ini merangkumi kerjasama industri-akademik berstruktur serta tafsiran penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang lebih meluas dan fleksibel untuk mengiktiraf aktiviti yang diterajui PKS dengan lebih baik.

“Aktiviti-aktiviti ini termasuk inovasi proses dan penambahbaikan tambahan, mekanisme cukai serta geran yang dipermudahkan, pengkomersilan yang dipertingkatkan, kemudahan pengguna biasa dan geran pemadanan kepada orang ramai dalam pelaburan sektor swasta,” katanya selepas kunjungan hormat FMM ke atas Menteri MOSTI, Chang Lih Kang baru-baru ini.

Lee berkata FMM juga menekankan keperluan bagi mengukuhkan rantaian bekalan domestik yang berdaya tahan dengan mempertingkatkan Program Hubungan Perindustrian FMM - Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Ini melibatkan usaha membenamkan inovasi, teknologi termaju termasuk amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) ke dalam peningkatan pembekal, mempromosikan ekosistem berasaskan kluster serta Program Vendor Nasional, selain mempercepatkan penyetempatan, penggantian import dan pemindahan teknologi yang akan menaungi sektor bernilai tinggi serta strategik.

Ekosistem penasihat sehenti yang diselaraskan juga amat diperlukan, di samping penilaian kesediaan berstruktur dan peta hala tuju digital, insentif dan geran mikro yang dipermudahkan, perkongsian infrastruktur pintar, model pendigitalan kolaboratif termasuk pembangunan bakat yang lebih kukuh dalam pembuatan pintar, data, keselamatan siber dan automasi.

Lee berkata usaha ini akan disokong oleh inisiatif seperti kerjasama FMM dengan SIRIM Bhd dalam menyediakan 3,000 syarikat di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.

FMM juga menekankan keperluan untuk usaha menyeluruh ekosistem yang berterusan dalam menangani cabaran persepsi yang terkait dengan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), pendidikan serta latihan teknikal dan vokasional (TVET)  termasuk bagi memperdalam penglibatan industri dalam kesedaran kerjaya melalui inisiatif perintis yang bertujuan untuk memupuk minat awal dalam sains dan teknologi.

Kerjasama yang lebih erat dan tersusun antara pengeluar, universiti serta institusi penyelidikan, khususnya dalam penyelidikan gunaan, pengkomersialan dan inovasi yang didorong oleh masalah, akan menjadi kritikal untuk mempercepatkan peralihan Malaysia ke arah produk yang lebih kompleks, bernilai tambah lebih tinggi dan berintensifkan teknologi, kata Lee lagi.

 

-- BERNAMA 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan