ALOR SETAR, 27 Feb (Bernama) -- Tujuh individu termasuk seorang wanita warga Thailand ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes melepaskan tembakan ke arah kenderaan komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Bukit Kayu Hitam, Kedah, dua hari lepas.
Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah berkata kesemua suspek berusia antara 22 hingga 52 tahun itu ditahan dalam beberapa serbuan di sekitar Bukit Kayu Hitam dan Padang Besar, Perlis hasil operasi bersepadu yang dilakukan pada hari sama kejadian bermula 10.30 pagi hingga 6 petang.
“Siasatan mendapati, enam lelaki dan seorang wanita yang merupakan isteri kepada salah seorang ditahan itu tinggal berdekatan lokasi kejadian dan mengenali antara satu sama lain. Hasil semakan juga mendapati empat daripada suspek itu mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan jenayah berat.
“Selain itu, dua suspek juga mempunyai kesan gunshot residue (GSR) atau residu tembakan senjata api iaitu rembesan tembakan daripada senjata api di bahagian tangan dan pipi mereka. Siasatan mendapati mereka tidak mempunyai lesen untuk memiliki senjata api,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, hari ini.
Beliau berkata kesan GSR itu juga dikesan pada kunci dan topi keledar yang dipercayai digunakan ketika melakukan jenayah berkenaan, namun senjata yang digunakan masih belum ditemui sehingga kini.
Sementara itu, Adzli berkata pasangan suami isteri yang tinggal di Bukit Kayu Hitam itu ditahan di kawasan pemeriksaan pintu sempadan Padang Besar, Perlis pada 12.30 tengah hari dan disyaki hendak melarikan diri ke negara jiran.
“Kesemua suspek ditahan reman antara dua hingga empat hari untuk siasatan lanjut, manakala wanita berusia 30-an itu pula ditahan reman 14 hari di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 bagi menyiasat ketulenan dokumen pengenalan diri miliknya.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971, Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Mengulas lanjut, Adzli berkata pihaknya tidak menafikan tembakan ke arah Komander AKPS itu berniat untuk membunuh dan ia mungkin kerana ada pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengan tindakan tegas penguat kuasa sehingga menjejaskan aktiviti penyeludupan haram yang dilakukan mereka.
“Beberapa siri rampasan besar berjaya dipatahkan termasuk rampasan 100 tan beras, rampasan kaskas babi dan lebih 100 migran...rampasan-rampasan itu melibatkan kerugian yang banyak, ada melebihi RM1 juta jadi itu antara motif mereka untuk menakutkan dan merencatkan tindakan penguat kuasa.
“Ingin ditegaskan bahawa kita tidak akan berundur walau setapak, tidak gentar dengan ugutan mereka, malah tindakan lebih tegas akan diambil selepas ini. Petugas di pintu sempadan selepas ini, akan dibekalkan dengan baju kalis peluru dan senjata yang lebih bagi memastikan mereka tidak berasa terancam, selain bekerja dalam suasana selamat,” katanya.
Rabu lepas, kereta Proton X70 dipandu SAC Mohd Nasaruddin Mohd Nasir ditembak pada 5.40 pagi di susur masuk Masjid Muhajirin, Bukit Kayu Hitam, kira-kira satu kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand.
Dua suspek menaiki sebuah motosikal melepaskan dua das tembakan dipercayai menggunakan senjata semi automatik ke arah kenderaan mangsa.
Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan suspek yang melepaskan tembakan ke arah kenderaan komander AKPS itu berjaya ditahan dalam tempoh kurang 24 jam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial