WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TH Plantations Catat Peningkatan Untung Bersih Kepada RM107.49 Juta Bagi Tahun Kewangan 2025

26/02/2026 10:43 PM

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- TH Plantations Bhd mencatatkan peningkatan dalam keuntungan bersihnya kepada RM107.49 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2025 (TK2025) daripada RM75.17 juta pada tahun sebelumnya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, anak syarikat perladangan Lembaga Tabung Haji itu berkata prestasi yang lebih baik itu disokong oleh prestasi operasi yang lebih kukuh dan margin yang dipertingkatkan, hasil daripada harga jualan purata yang lebih tinggi.

Ia berkata peningkatan keuntungan itu juga mencerminkan margin yang lebih kukuh dan pengurusan kos yang berdisiplin, berpandukan strategi untuk menumpukan kepada 'peluang mudah dan cepat dijana' oleh kumpulan.

Hasil turut meningkat kepada RM961.23 juta berbanding RM901.67 juta pada TK2024, didorong oleh harga purata direalisasikan yang lebih tinggi untuk semua produk, iaitu minyak sawit mentah (MSM) yang naik 3.51 peratus, isirung sawit (PK) bertambah sebanyak 29.20 peratus, dan tandan buah segar (FFB) yang menokok 4.99 peratus.

Bagi suku keempat (S4) TK2025, THP mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi sebanyak RM35.56 juta berbanding RM30.18 juta pada suku yang sama sebelumnya. Hasil meningkat kepada RM302.52 juta daripada RM294.35 juta yang dicatatkan pada S4 TK2024.

THP berkata keuntungan bersih yang lebih tinggi pada suku berkenaan terutamanya didorong oleh margin operasi yang lebih baik yang timbul daripada peningkatan hasil, serta pengiktirafan keuntungan nilai saksama sebanyak RM20.79 juta ke atas aset perhutanan dalam suku itu, manakala hasil S4 TK2025 yang lebih tinggi terutamanya disebabkan oleh peningkatan jumlah jualan MSM, PK dan FFB.

Melangkah ke hadapan, THP berkata ia menjangkakan prestasi kewangan kumpulan bagi TK2026 akan kekal berdaya tahan walaupun berdepan dengan ketidakpastian ekonomi global, dinamik tenaga kerja dan turun naik harga.

“Harga minyak sawit dijangka kekal kukuh dalam jangka masa terdekat, disokong oleh permintaan yang stabil dan keadaan bekalan yang berdisiplin, walaupun persaingan daripada minyak sayuran lain serta perkembangan makroekonomi yang lebih luas mungkin mempengaruhi dinamik pasaran.

“Kumpulan akan terus mengutamakan program peningkatan hasil, inisiatif pengoptimuman kos, pematuhan terhadap kemampanan dan aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), serta pengurusan modal yang berhemah untuk mengekalkan kualiti keuntungan, mengukuhkan daya tahan operasi dan meningkatkan nilai pemegang saham jangka panjang,” tambahnya.

Sehubungan itu, kumpulan berkenaan mengisytiharkan dividen biasa satu peringkat terakhir sebanyak tiga sen sesaham bagi TK2025, yang akan dibayar pada 30 April, 2026.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan