KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah hari ini berkenan berangkat menghadiri Majlis Tazkirah dan Pengurniaan Bubur Lambuk Istana Negara sempena bulan Ramadan di Istana Negara di sini.
Menerusi hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda berkenan menyerahkan bubur lambuk kepada 500 kakitangan istana pada majlis berkenaan.
Raja Zarith Sofiah juga berkenan menyertai sesi tazkirah yang disampaikan oleh Profesor Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail Al-Qudsy dari Jabatan Syariah, Ekonomi dan Governans Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya bertajuk Andai Ini Ramadan Terakhir.
Menerusi catatan itu, Raja Permaisuri Agong menzahirkan bahawa Seri Paduka Baginda menyukai cara penyampaian penuh kelembutan Sharifah Hayaati, anak jati Johor yang dikenali sejak sekitar tahun 2007.
Seri Paduka Baginda turut menunaikan solat fardu zuhur berjemaah di Surau Utama Istana Negara, dan berkenan menandatangani senaskhah buku yang pernah diberikan kepada Sharifah Hayaati ketika beliau ingin melanjutkan pengajian di Amerika Syarikat pada 2007.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial