WILAYAH - SARAWAK > BERITA

 Program Repatriasi Migran 2.0 Jana Kutipan Hasil Lebih RM88 Juta

26/02/2026 04:44 PM

PUTRAJAYA, 26 Feb (Bernama) -- Program Repatriasi Migran 2.0 (PRM 2.0), inisiatif pengampunan pulang pendatang tanpa izin secara sukarela berjaya menjana kutipan hasil melebihi RM88 juta setakat 23 Feb lepas, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban. 

Beliau berkata PRM 2.0 yang bermula 19 Mei 2025 hingga 30 April ini mencatatkan 177,000 pendaftaran dengan lebih 100,000 pendatang tanpa izin telah dihantar pulang ke negara asal masing-masing.

“Program ini masih berjalan dan juga ia memberi hasil yang agak besar pada kerajaan. Sehingga kini, kita dapat kutip lebih RM88 juta.

“Program ini kita masih lagi bincang di peringkat kementerian sama ada untuk kita teruskan ataupun kita berhenti sehingga April. (Setakat ini) belum ada apa-apa keputusan,” katanya kepada pemberita selepas program Semarak Ramadan JIM, di sini, hari ini.

Zakaria berkata sambutan terhadap program itu juga semakin meningkat khususnya pada bulan Ramadan dan menjelang Aidilfitri.

“Sekarang ini, kita tidak lagi menggunakan kaedah buat temujanji untuk datang (daftar RPM 2.0). Kita buka secara walk-in (datang secara terus) saja. Program ini kita tak semestinya tertumpu di Lembah Klang sahaja,” katanya. 

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini berkata kerajaan bersetuju melanjutkan PRM 2.0 bermula 19 Mei 2025 hingga 30 April 2026 khusus untuk Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan. 

Saifuddin Nasution berkata melalui program ini kompaun sebanyak RM500 dikenakan bagi kesalahan memasuki dan berada di Malaysia tanpa pas yang sah serta kesalahan tinggal lebih masa selepas tamat tempoh pas dikeluarkan, manakala kompaun RM300 bagi kesalahan melanggar syarat pas.

PRM 2.0 merupakan program pengampunan pulang pendatang tanpa izin secara sukarela dengan mereka dikecualikan tindakan pendakwaan dan ditawarkan kompaun mengikut kesalahan tertentu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan