WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AKPS, Kastam Perlu Gabungkan Fasiliti Perkukuh Penguatkuasaan E-Waste - Azam Baki

24/02/2026 09:56 PM

PUTRAJAYA, 24 Feb (Bernama) -- Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia perlu menggabungkan segala fasiliti dan peralatan sedia ada bagi memaksimumkan keberkesanan penggunaan teknologi dalam menangani lambakan kontena sisa elektronik (e-waste) dan plastik di negara ini, menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata tindakan penguatkuasaan yang tegas serta koordinasi bersepadu antara semua agensi adalah kritikal berikutan jumlah sisa semakin meningkat dan kemasukan e-waste secara haram yang memerlukan tindakan segera serta operasi lebih kerap di lapangan.

“Setelah penelitian data dan statistik terkini, kita akan mengesyorkan beberapa langkah komprehensif merangkumi dasar, penguatkuasaan dan kerjasama antarabangsa bagi menangani krisis ini secara holistik,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Hala Tuju Pengurusan Penguatkuasaan Pengimportan Sisa Plastik dan E-Waste Dalam Negara Bil. 3/2026 di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.

Azam  juga berkata setiap agensi perlu menetapkan pegawai bertanggungjawab semasa tindakan koordinasi dilaksanakan, dengan semua pegawai yang terlibat diwajibkan berada di lokasi operasi.

Beliau mengingatkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melakukan pemeriksaan mengejut dalam masa terdekat di lokasi kritikal bagi menilai keberkesanan tindakan penguatkuasaan.

Sementara itu, Komander Kawalan Pintu Masuk Pelabuhan Klang, Selangor AKPS Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal mendedahkan terdapat 818 kontena e-waste terdampar di Pelabuhan Klang sejak 2024, sekali gus menunjukkan keperluan mendesak untuk pendekatan baharu dan lebih tegas.

Membentangkan dapatan Mesyuarat Koordinasi Jawatankuasa Khas Penyelarasan E-Waste, beliau berkata dasar dan perundangan berkaitan e-waste perlu diseragamkan dan diperkukuhkan.

“Sisa e-waste harus dimasukkan di bawah ‘Larangan Mutlak’ dalam Jadual Pertama Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023. Selain itu, perwakilan kuasa kepada PDRM bagi Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 juga dicadangkan untuk membantu siasatan kes pengimportan dan pemprosesan haram,” katanya.

Nik Ezanee berkata penguatkuasaan dan kawal selia di semua pintu masuk negara perlu dipertingkatkan, dengan semua agensi digesa memperkukuh mekanisme kawalan di peringkat pelabuhan.

“Kita tidak boleh menggunakan cara kerja biasa, sebaliknya pendekatan di luar kebiasaan perlu dipraktikkan bagi menangani masalah ini,” katanya.

Turut hadir Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Pasukan Gerakan Am (PGA) DCP Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi; Komander Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan PDRM SAC Datuk Mohd Zaki Ashar dan Ketua Pengarah AKPS Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Antara wakil yang hadir adalah daripada Kementerian Kewangan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Kastam, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara.

Pada 8 Dis 2025, SPRM diberikan mandat oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar untuk mengetuai Pasukan Petugas Khas Penguatkuasaan Pengimportan Sisa Plastik dan E-Waste Dalam Negara bagi merangka penyelesaian holistik merentasi kementerian, kerajaan negeri dan agensi berkaitan, seiring usaha memperketat kawalan kemasukan sisa berbahaya serta melindungi alam sekitar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan